Anda di sini

Kehilangan Bill suntik semangat perjuangan PEDAS

Advertisement

Apa yang berlaku tidak patah semangat ahli terus tabah, bersatu perjuang matlamat penubuhan

// Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Pemergian aktivis kaum Dayak yang juga pejuang isu berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini, Bill Kayong bukan sahaja satu kehilangan malah akan menjadi penyuntik semangat dan inspirasi kepada Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS).

Presiden PEDAS Mejar (B) Kapten Collin Imran berkata apa yang berlaku ke atas Bill Kayong yang juga setiausaha persatuan itu, tidak akan mematahkan semangat ahlinya terus tabah dan bersatu memperjuang matlamat penubuhan PEDAS.

“Pemergian beliau bukan sahaja satu kehilangan amat dirasai apatah lagi beliau adalah setiausaha PEDAS yang cukup komited, malah apa yang berlaku ke atasnya menjadi pencetus semangat dan sumber inspirasi kami,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Miri.

Beliau berikrar akan terus memperjuangkan apa yang telah diperjuangkan bersama Bill, dengan ahli-ahli PEDAS yang lain.

“Kami akan menghadapi waktu sukar bersama dan berharap apa yang berlaku ke atas Bill akan lebih menyatupadukan kami demi matlamat penubuhan PEDAS iaitu memartabatkan kaum Dayak dan menjaga kebajikan, hak, budaya dan kepentingan berkaitan kaum Dayak,” jelasnya.

Bill bersama Collin, adalah antara mereka yang tampil mencetus idea menubuhkan PEDAS pada September 2014 dan menjadikannya salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Dayak yang paling disegani di negeri ini dengan keahlian lebih 10,000 orang di seluruh negeri pada masa ini.

Pada masa yang sama Collin mahu semua ahli PEDAS bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan diri sendiri dan persatuan itu serta boleh mengganggu siasatan polis.

“PEDAS menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk menyiasat dan seterusnya membawa penjenayah yang terbabit ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam pada itu beliau mahu polis melakukan siasatan terperinci, telus dan membawa penjenayah serta dalang di sebalik pembunuhan kejam Bill Kayong ke muka pengadilan.

Sementara itu Collin bersama ahli-ahli PEDAS daripada beberapa cawangannya di negeri ini, turut menyertai lebih 100 orang ahli keluarga, saudara dan rakan-rakan yang lain, berada di Rumah Mayat Hospital Miri di sini bagi membantu ahli keluarga beliau membuat urusan menuntut jenazahnya.

Jenazah Bill Kayong atau nama Islamnya Mohd Hasbi Abdullah, akan dibawa ke kediamannya di Desa Senadin Fasa 5 di sini, untuk majlis penghormatan terakhir kepada beliau sehingga malam ini dan seterusnya memberikan gelaran ‘Bujang Berani’ mengikut adat kaum Iban.

Pagi esok, jenazahnya akan diserah kepada pihak Majlis Islam dan jawatankuasa Masjid Ar-Rayyan untuk dimandikan dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1, Kuala Baram selepas solat Jumaat.

Advertisement