Anda di sini

Bukit Aman siasat kes tembak Bill Kayong

Advertisement

Beberapa pakar JSJ Bukit Aman tiba di Miri bantu Pasukan Khas PDRM siasat kes

// Oleh Rosemaria Buma //

DEV

DEV

MIRI: Beberapa pakar Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman tiba di sini semalam bagi membantu Pasukan Khas ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin untuk menyiasat  kes tembak Bill Kayong.

Ketua JSJ Sarawak SAC Dev Kumar Sree Shunmugan berkata kumpulan pertama akan tiba di sini terdiri daripada pasukan siasatan forensik CSI Bukit Aman yang akan melakukan siasatan semula di tempat kejadian dan kenderaan mangsa.

Katanya pasukan terbabit akan melakukan siasatan terperinci merangkumi segenap sudut mencari sebarang petunjuk yang dapat membantu dalam siasatan kes tersebut.

“Buat masa sekarang, kami tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai perkembangan kes ini namun berjanji akan memberi keutamaan dalam melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini.

“Apa yang menyedihkan, belum ada sebarang saksi yang melihat kejadian itu tampil memberi maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Oleh yang demikian menurut Dev, pihaknya sekali lagi merayu kepada orang ramai terutama pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian dan melihat kejadian tembak itu kelmarin agar segera menghubungi pihak polis.

Katanya mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri melalui talian 085-433730, 085-433400 atau pegawai penyiasat kes ASP Lee Chee Keat (012-3436388).

Pada masa sama beliau sekali lagi mengingatkan orang awam dan rakan mangsa agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.

“Sebagaimana saya tegaskan tadi, polis tidak memandang remeh kes ini sebaliknya akan meneliti dari segenap aspek untuk mencari sebarang petunjuk hingga berjaya mengesan penjenayah terlibat seterusnya menghadapkan mereka ke muka pengadilan,” tegasnya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan satu pasukan khas ditubuhkan segera untuk menyiasat kes tembak Bill Kayong.

Katanya pasukan khas itu akan diketuai sendiri oleh Dev Kumar.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi kelmarin, Bill Kayong, 43, yang merupakan setiausaha PKR Cawangan Miri telah ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali.

Kejadian belaku ketika mangsa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala arah Permyjaya di lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin untuk ke tempat kerja yang terletak di pusat bandar.

Advertisement