Anda di sini

Pasukan khas akan siasat kes tembak Bill Kayong

Advertisement
 Khalid melihat isi kandungan buku manual pematuhan standard semasa merasmikan Buku Manual Pematuhan Standard, Kod Etika PDRM dan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

RASMI: Khalid melihat isi kandungan buku manual pematuhan standard semasa merasmikan Buku Manual Pematuhan Standard, Kod Etika PDRM dan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian setiausaha PKR Cabang Miri, Bill Kayong ditembak mati di Lutong, Sarawak, pagi semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan berkenaan akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar M. M Sree Shunmugam.

Khalid berkata PDRM akan menghantar pegawai JSJ Bukit Aman bagi membantu pasukan berkenaan.

“Setakat ini, punca kematian masih dalam siasatan dan saya minta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis menandatangani nota kerjasama PDRM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia serta pelancaran buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM di Bukit Aman, di sini, semalam.

Ditanya mengenai motif kejadian itu, Khalid berkata pihaknya masih menyiasat.

“Kes ini sensitif, biar polis jalankan siasatan dahulu untuk ketahui punca dan jejaki penjenayah itu… Jadi, kami tidak mahu ada individu membuat sebarang spekulasi.

“Sekiranya ada sebarang perkembangan mengenai kes itu ia akan dimaklumkan oleh Ketua JSJ Sarawak,” katanya. Kayong, 43, yang merupakan calon PKR di kawasan Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu mati ditembak kira-kira jam 8.30 pagi semalam ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Lutong.

Polis mengklasifikasi kes tersebut sebagai bunuh.

Kayong juga merupakan Setiausaha Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) yang memperjuangkan kebajikan masyarakat Dayak. — Bernama

 

Advertisement