Anda di sini

Guardian sumbang RM380,000 untuk kanak-kanak pesakit kanser

Advertisement

Oleh Adriana Mroon Ambrose//

B16062204

KUALA LUMPUR: Bersempena Ramadan dan Hari Bekas Pesakit Kanser, Guardian Malaysia telah menyumbang sebanyak RM380,000 dalam bentuk wang tunai dan pelbagai barangan bagi menyediakan penjagaan dan keselesaan kepada kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di hospital, dan si manja yang telah sembuh daripada penyakit kanser.

Daripada jumlah tersebut, RM100,000 akan digunakan untuk mengubah suai tingkat empat ruang Rumah Harapan Kanak-Kanak (Home of Hope), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM) agar lebih banyak bilik dapat diadakan untuk menempatkan kanak-kanak dari luar bandar dan penjaga mereka sementara kanak-kanak tersebut menjalani rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Guardian Health and Beauty Sdn Bhd, pemilik Guardian Malaysia Peter J Dove telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengurus Besar NCSM Sudhaharan Nair pada satu upacara simbolik majlis pecah tanah di Kuala Lumpur, baru-bau ini.

Menurut Dove, pihaknya amat gembira dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk menyumbang kepada rumah istimewa kanak-kanak ini.

“Guardian Malaysia akan memberi sumbangan wang tunai sebanyak RM300,000 dan RM80,000 lagi dalam bentuk barangan.

“Jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM380,000 dan ia akan dimanfaatkan ke arah pelbagai aktiviti dan program komuniti untuk menyokong mereka yang terkesan akibat kanser.

“Menyedari keberanian yang ditunjukkan oleh pesaki-pesakit muda ini dalam menangani ancaman kesihatan dan kehidupan mereka, Guardian Malaysia memilih untuk memfokuskan program CSR Ramadan kami untuk mendekati kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kanser di hospital dan juga kanak-kanak yang terselamat daripada kanser. Ia juga merupakan cara Guardian Malaysia menghormati Hari Bekas Pesakit Kanser Kebangsaan yang telah disambut pada 5 Jun ini,” katanya.

Tambah Dove lagi, dalam semangat melakukan kebajikan Ramadan ini, pihaknya berharap dapat menyampaikan mesej kepada para pelanggan bahawa Guardian adalah ‘Penjaga (The Guardian)’ mereka dan keluarga mereka.

“Jadi kami tahu apa maknanya mempunyai barangan yang tepat pada masa kami memerlukannya, terutamanya untuk ibu bapa yang perlu menjaga anak-anak mereka. Untuk memberi sokongan moral kepada keluarga pesakit, pek pemula Kumpulan Sokongan Ibu Bapa akan diagihkan kepada 100 keluarga, melalui Hospital Kuala Lumpur.

“Dan dengan Hari Raya yang menjelang tiba, kami merancang untuk membeli dan mengagihkan hadiah Hari Raya kepada 220 keluarga pesakit di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain,” jelas beliau.

 

Advertisement