Anda di sini

Abu Sayyaf: ATM kerjasama Filipina dan Indonesia

Advertisement

Patahkan sebarang usaha Abu Sayyaf loloskan diri dari Sulu susulan tindakan ketenteraan Filipina

 Zulkifeli (kiri) berbual dengan Makhtar (dua kanan) dan Md. Alwi (kanan) ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga 8 Briged di Masjid An-Nur Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Baharu, kelmarin. — Gambar Bernama

BERBUAL: Zulkifeli (kiri) berbual dengan Makhtar (dua kanan) dan Md. Alwi (kanan) ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga 8 Briged di Masjid An-Nur Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Baharu, kelmarin. — Gambar Bernama

KOTA BAHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan Filipina dan Indonesia dalam usaha  mematahkan sebarang cubaan meloloskan diri oleh militan Abu Sayyaf dari Sulu.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata ini susulan tindakan ketenteraan Filipina yang dilapor mengerahkan 5,000 anggotanya ke Sulu bagi memburu kumpulan Abu Sayyaf yang memenggal kepala dua warga Kanada dalam tempoh dua bulan.

“Kita akan ambil tindakan awal untuk mematahkan sebarang cubaan melarikan diri (oleh militan Abu Sayyaf). Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bekerjasama rapat (dalam menangani perkara ini).

“Kita telah mengerahkan segala aset ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melakukan operasi bersama,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Briged ke-8 Infantri di Kem Desa Kok Lanas, di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan  Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Panglima Dua Divisyen Jen Datuk Fadzil Mokhtar.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 5,000 anggota tentera Filipina dikerahkan ke Sulu bagi memburu kumpulan Abu Sayyaf selepas kumpulan itu memenggal dua warga Kanada dalam tempoh dua bulan ini.

Jurucakap Tentera Filipina di Mindanao Barat, Mejar Filemon Tan dilaporkan berkata semua sumber tenaga tentera darat, laut dan udara akan terlibat dalam operasi Sulu.

Dalam pada itu, Zulkifeli berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina di Manila dalam masa terdekat bagi membincangkan kerjasama berkaitan rondaan di Laut Sulawesi dan Laut Sulu.

Beliau berkata antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Malaysia adalah model rondaan yang dilakukan di Selat Melaka ketika ini. — Bernama

Advertisement