Anda di sini

Penduduk mohon jalan raya dinaik taraf

Advertisement

Nampak elok, tapi jalan antara SK dan SMK Bawang Assan sering banjir bila air pasang

// Oleh Andy Sabang //

 Jalan raya menghubungkan SK Bawang Assan dan SMK Bawang Assan dari jalan utama.

SEMPIT: Jalan raya menghubungkan SK Bawang Assan dan SMK Bawang Assan dari jalan utama.

SIBU: Sekali pandang, keadaan jalan berturap menghubungkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Assan dan SMK Bawang Assan di sini dari jalan utama masih elok dan kukuh.

Namun, selepas melalui jalan raya terbabit baharulah perasaan ragu-ragu terhadap keselamatan jalan tersebut timbul.

Lebih membimbangkan terdapat andaian mendakwa jalan raya itu hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan lagi.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bawang Assan, Dornie Engkamat berkata sudah tiba masa jalan raya tersebut dinaik taraf.

Ini termasuk memperbesar saiz serta menambah ketinggian jalan berkenaan.

“Hampir setiap kali berlaku air pasang, jalan raya tersebut akan ditenggelami air. Ia berpunca dari pintu air di Bawang Assan yang rosak dan tidak dibaiki,” katanya di sini semalam.

Menurut Dornie, paling teruk pada waktu malam apabila kawasan jalan raya tersebut bukan sahaja gelap tetapi sempit.

“Saya berpendapat wajar pihak berwajib mengambil perhatian serius terhadap jalan raya berke-naan meskipun sehingga kini belum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Apatah lagi merupakan satu-satunya jalan raya menghubungkan dua buah sekolah di Bawang Assan,” jelas beliau.

Dornie juga berharap sistem perparitan di kawasan Bawang Assan termasuk pintu air perlu dikaji bagi mengelak kemasukan air masin menjejaskan tanaman serta binatang ternakan.

Jelas beliau, bukan semua sosioekonomi penduduk di kawasan itu bergantung kepada jawatan yang disandang dalam kerajaan mahupun sektor swasta.

“Namun, terdapat kalangan penduduk di Bawang Assan bergantung hidup kepada hasil tanaman dan binatang ternakan,” katanya.

Advertisement