Anda di sini

Ops Selamat Balik Kampung Gawai catat sifar kes pecah rumah

Advertisement
 Yussof (dua kanan) menyerah plak tanda CCTV kepada Ngu sambil diperhatikan (dari kiri) Tiong dan Saiful selepas Majlis Menandatangani MoU di Sibu, kelmarin.

PERKONGSIAN PINTAR: Yussof (dua kanan) menyerah plak tanda CCTV kepada Ngu sambil diperhatikan (dari kiri) Tiong dan Saiful selepas Majlis Menandatangani MoU di Sibu, kelmarin.

SIBU: Negeri ini mencatat sifar kes pecah rumah semasa perayaan Hari Gawai Dayak baru-bru ini, kata Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Che Yussof Che Ngah.

Ia berdasarkan statistik Ops Selamat Balik Kampung sempena perayaan Hari Gawai Dayak yang bermula  25 Mei hingga 8 Jun lepas.

“Sepanjang pelancaran opersi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 339 permintaan atau pemilik rumah menghubungi kami untuk mengawasi rumah sepanjang balik kampung semasa perayaan Hari Gawai Dayak lepas.

“Sebanyak 339 rumah itu bebas daripada kejadian pecah rumah sepanjang musim perayaan tersebut,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah dan Pengarah Urusan NB Group Datuk William Ngu.

Terdahulu, Yussof telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pihaknya dengan NB Motors Sdn Bhd yang diwakili oleh Ngu berkenaan dengan ‘Safecam Partnership Programme’.

Upacara MoU itu disaksikan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King.

Beliau memberitahu, pihaknya meronda sebanyak 1,405 kali ke atas 339 rumah berkenaan.

“Rondaan membabitkan 649 kereta peronda polis (MPV), 126 motosikal peronda polis (URV) dan 195 kenderaan balai dan lain-lain 57.

“Semuanya menunjukkan kejayaan kerana Sarawak tidak mencatat sebarang kes pecah rumah sepanjang perayaan Hari Gawai Dayak lepas,” tegasnya.

Sementara itu, PDRM juga akan melancarkan Ops Selamat Balik Kampung sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Jun ini hingga 11 Julai depan.

Justeru, beliau mempelawa orang ramai menghubungi balai polis terdekat untuk memohon bantuan mengawasi rumah mereka semasa balik kampung.

“Bagi memastikan keselamatan rumah anda sepanjang balik kampung pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, saya menasihati orang ramai melaporkan kepada balai polis terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa PDRM di Sibu mempunyai 41 kenderaan peronda yang terdiri daripada MPV dan URV.

“Ia adalah inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah dan aset juga akan digunakan untuk operasi tersebut di sini,” katanya.

Advertisement