Anda di sini

Wanita ditahan, disyaki mencuri di pasar raya

Advertisement

DITAHAN: Suspek curi dalam pasar raya dibawa masuk ke Balai Polis Sentral untuk soal siasat.

 Barangan yang dipercayai dicuri suspek.

PELBAGAI: Barangan yang dipercayai dicuri suspek.

SIBU: Seorang wanita ditahan selepas gagal membayar barangan disyaki curi di sebuah pasar raya di Jalan Channel di sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari semalam, suspek, 38, berkelakuan mencurigakan telah ditahan pekerja sekuriti wanita selepas keluar tanpa membayar barangan yang dibawa di dalam beg plastik di luar pasar raya tersebut.

Apabila diperiksa, beg plastik yang dibawa suspek mengandungi beberapa barang antaranya dua helai tuala, satu peket serbuk kunyit, sebungkus biskut, satu botol kecil losyen bayi, satu tin makanan segera bayi, sepeket lampin pakai buang termasuk beberapa barang lain.

Suspek kemudian dibawa ke dalam pejabat dan pemeriksaan lanjut mendapati sepasang baju wanita dan dua helai pakaian tidur juga dipercayai hasil curi disimpan dalam beg tangannya.

Menurut seorang pekerja sekuriti pasar raya tersebut, suspek terlebih dahulu dipercayai mencuri pakaian tidur di tingkat atas sebelum pergi ke tingkat bawah pasar raya.

“Kami telah mengintai pergerakan wanita tersebut yang mencurigakan dan bertindak menahannya untuk melakukan pemeriksaan selepas dia keluar dari premis tanpa membayar wang,” kata seorang pekerja keselamatan wanita pasar raya ketika ditemui di balai.

Mengikut prosedur pasar raya berkenaan, suspek dikehendaki membayar denda 10 kali ganda nilai barangan yang disyaki curi tetapi suspek gagal berbuat demikian.

Suspek berasal dari Pasin dekat sini kemudian diserah kepada pihak polis yang kemudian membawa suspek ke Balai Polis Sentral untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Advertisement