Anda di sini

Sokong program kawalan keselamatan kesan jenayah

Advertisement

Enam syarikat sertai ‘Safecam Partnership Programme’

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak SAC Che Yussof Che Ngah memberitahu, sebanyak enam syarikat di sini telah menyertai ‘Safecam Partnership Programme’ yang bertujuan menyediakan kawalan keselamatan 24 jam ke atas premis syarikat mereka.

Enam syarikat tersebut jelasnya, ialah Farley Group, Sing Kwong Group, Li Hua Group dan terbaharu NB Group yang merangkumi tiga syarikat di bawahnya.

Beliau berkata program itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri di Johor pada bulan Oktober 2012 dan telah terbukti berjaya setakat ini.

“Kami menggalakkan lebih banyak syarikat menyertai program ini dan bersama-sama membantu memerangi dan menyelesaikan jenayah dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NB Motors Sdn Bhd di sini.

MoU itu adalah antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama NB Group yang terdiri daripada NB Motors Sdn Bhd, SPN Security dan Shizen Foods Product Sdn Bhd.

Majlis berkenaan disaksikan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King dan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah.

NB Motors diwakili Pengarah Urusan NB Group Datuk William Ngu.

Yussof berkata, syarikat yang berminat menyertai program berkenaan perlu mendaftar dengan pihak yang berkaitan khususnya PDRM.

Di bawah program itu, beliau berkata ia akan membolehkan polis dan syarikat  berkongsi maklumat mengenai pencegahan jenayah.

“Dengan adanya program ini pihak polis akan dapat memberi respons selama 10 minit melalui sesuatu jenayah khususnya kes pecah rumah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka yang ingin menyertai program ini untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) dengan sekurang-kurangnya dua mega pixel bagi memastikan imej jelas bagi polis untuk mengenal pasti suspek jenayah.

Beliau berkata ia akan menjadi sukar bagi polis untuk menyelesaikan jenayah jika imej yang dirakam adalah kabur dan tidak jelas.

“Pihak polis dengan bantuan (alat) ini, dapat memerangi jenayah dengan lebih berkesan,” tegasnya.

Advertisement