Anda di sini

Kes HFMD di Sarawak berada pada tahap normal

Advertisement

Meskipun trend HFMD meningkat di Semenanjung tetapi trend sama tidak berlaku di S’wak ketika ini

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak ber-ada pada tahap normal dan dikawal dengan baik ketika ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Kamarudin Lajim pada sidang media selepas pe-rasmian ‘Seminar Malaysian Ostomy, Wound & Continence Care 2016’ di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini, semalam.

Meskipun trend HFMD mencatat peningkatan di Semenanjung Malaysia tetapi menurut Dr Kamarudin, trend yang sama tidak berlaku di Sarawak ketika ini.

“Mengikut rekod kami, kes HFMD ketika ini sudah berada pada tahap normal dan di bawah kawalan kami dan jika ada kes pun ia hanya berlaku dalam kalangan ahli keluarga sahaja.

“Malah kami juga berjaya mengawal kes HFMD dengan baik dalam kalangan kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah terutama mereka yang di bawah jagaan taska atau pusat asuhan,” katanya.

Terdahulu ketika me-rasmikan seminar itu, Dr Kamarudin berkata seminar dianjurkan sempena ‘Malaysian Wound, Ostomy & Continence Education Program’ (MyWOCEP)  selama 12 minggu bermula 28 Mac 2016 dan berakhir hari ini, 17 Jun 2016.

Seminar ini adalah salah satu projek oleh pelajar untuk berkongsi kemahiran mereka dalam menguruskan kes mengenai penjagaan luka (wound), ostomy dan continence bersama jururawat lain, pembantu perubatan dan doktor dalam menyediakan pendekatan yang holistik.

Selain itu jururawat yang terlibat turut didedahkan dengan penggunaan produk-produk luka yang berbeza dengan teknologi-teknologi moden.

“Saya harap peserta seramai 25 orang dalam seminar akan memanfaatkan dan berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan-rakan di tempat kerja nanti.

“Saya juga berbesar hati bahawa Hospital Umum Sarawak (HUS) diberi keistimewaan untuk menjalankan program ini di bawah Malaysian Enterostomal Therapy Nurses Association (METNA), Unit Perkhidmatan Jururawat dan Pembedahan Am.

“Saya percaya objektif program ini dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan dan klinikal khusus kepada pesakit dapat dicapai,” kata-nya.

Dalam pada itu, difahamkan bahawa MyWOCEP turut dipantau oleh anggota daripada World Council of Enterostomal Therapy (WCET) bagi memastikan standard dan panduan WCET Education mendapat pengiktirafan.

Turut hadir, Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing, Ketua Jabatan Pembedahan Am HUS Nik Azim Nik Abdullah serta yang lain.

Advertisement