Anda di sini

Bunuh: Polis jejaki dua individu

Advertisement
 ACP Junaidi Bujang.

BANTU SIASATAN: ACP Junaidi Bujang.

Mangsa dihantar oleh seorang lelaki dan wanita ke Hospital Miri

MIRI: Polis Miri kini sedang berusaha mengesan dua individu menghantar seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk mendapatkan rawatan di Hospital Miri pada 6 Jun lalu untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh tersebut.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Junaidi Bujang ketika dihubungi memberitahu bahawa pada awalnya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Namun hasil bedah siasat ke atas wanita terbabit yang dikenali sebagai Norfisa Othman, 26, dari Permyjaya yang dikeluarkan pada 12 Jun lalu mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat dipukul objek tumpul.

Berikutan itu, polis telah mengklasifikasikan semula kes tersebut sebagai bunuh dan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Junaidi, pada 6 Jun lalu, dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dengan identiti masih belum diketahui tiba di hospital sekitar jam 1.20 pagi membawa bersama mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala mulutnya berbuih dan hidung berdarah.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama ketika sedang menerima rawatan di hospital.

“Ahli patologi yang melakukan bedah siasat ke atas mangsa mendapati terdapat lapan kesan kecederaan pada mangsa yang mana disebabkan objek tumpul.

“Mangsa turut mengalami kecederaan di kepala dengan kesan retak di tengkorak dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul,” katanya sambil memberitahu semua kesan kecederaan terdapat pada badan mangsa masih baharu.

Sehubungan itu kata Junaidi, pihaknya telah menemubual orang ramai untuk mengumpul maklumat namun polis masih gagal mengesan dua individu yang telah menghantar mangsa ke hospital pada awal pagi 6 Jun lalu.

Justeru katanya, polis kini berdepan kesukaran dalam menjalankan siasatan kerana kekurangan maklumat berhubung kes berkenaan termasuk mengetahui lokasi mangsa mendapat kecederaan.

“Justeru, polis merayu kepada orang awam mempunyai maklumat berhubung kes ini termasuk dua individu dimaksudkan supaya tampil memberi maklumat sekaligus membantu polis meneruskan siasatan kes,” ujarnya.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh pergi ke balai polis berdekatan.

Advertisement