Anda di sini

50 peratus rakyat M’sia bimbang, tidak bersedia untuk bersara

Advertisement

KUCHING: Hasil kajian yang dijalankan dalam kalangan rakyat negara ini menunjukkan kira-kira 50 peratus antara mereka bimbang dan tidak bersedia untuk bersara.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan Datuk Mohd Naroden Majais, sikap pesimis itu berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merekodkan kebanyakan dana persaraan ahli KWSP hanya dapat kekal secara purata dalam tempoh tiga tahun.

Malah katanya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, jangka hayat penduduk negara ini dianggar selama 72 tahun untuk lelaki dan 77 tahun untuk wanita.

“Oleh kerana jangka hayat manusia semakin meningkat, persoalan yang mungkin timbul ialah adakah wang yang dikumpul untuk tujuan persaraan atau pencen mencukupi untuk menampung tahap kualiti kehidupan yang diimpikan, ditambah pula dengan meningkatnya kos perubatan dan sara hidup.

“Justeru, sama ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 tahun atau lebih awal, apa yang penting anda perlu melengkapkan diri terutama daripada aspek perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Bicara Ilmu Ramadan ‘Menjelang Usia Bersara’ anjuran Maktab Koperasi Malaysia (MKM) di Hotel Grand Margherita di sini, semalam.

Tambah beliau yang juga merupakan Menteri Muda Perancangan Sumber, pastinya rakyat juga mahu bebas daripada segala bebanan hutang setelah bersara.

“Dengan masa yang ada, tuntutlah ilmu dan pengetahuan bagi menyiapkan kita dengan segala persiapan bagi menghadapi usia persaraan,” jelasnya.

Sementara itu mengulas mengenai MKM, Pengarah MKM Cawangan Sarawak Siti Maimunah Jerni berkata, Akta MKM akan dipinda pada Persidangan Parlimen pada Oktober 2016 ini dan ditukar menjadi Institut Koperasi Malaysia.

Katanya pindaan itu kelak akan memperkasakan lagi pendekatan yang diambil MKM bagi memberi latihan dan kursus-kursus yang lebih praktikal dan teknikal khusus untuk koperator dan anak-anak koperator.

“Sekarang, MKM mende-katkan kursus baharu yang lebih praktikal dan teknikal termasuk kursus berhubung pelancongan, pertanian, perladangan dan sebagainya.

“Malah, selain kursus konvensional, sekarang MKM juga akan memperkenalkan kursus atas talian (online) dari rumah sahaja supaya ahli koperasi atau koperator dapat menimba ilmu dengan lebih mudah,” jelasnya.

Pada majlis tersebut juga, MKM turut menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Amal Nur Murni sempena sambutan Ramadan.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Osman Ismail.

Advertisement