Anda di sini

Sarawak catat penurunan pendapatan pada tahun lalu

Advertisement

KUCHING: Sarawak mencatat penurunan pendapatan pada tahun lalu iaitu hanya RM6.955 bilion berbanding RM8.902 bilion pada 2014.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurutnya penurunan itu disebabkan dividen rendah diterima daripada syarikat-syarikat minyak dan gas serta pampasan tunai yang rendah dalam bentuk hak-hak minyak dan gas.

“Bagi suku pertama 2016 Sarawak memperoleh pendapatan RM1.894 bilion iaitu 34 peratus daripada jumlah anggaran pendapatan tahun ini iaitu RM5.547 bilion,” ujarnya.

Menyentuh perbelanjaan biasa kerajaaan negeri pada tahun lalu, Wong berkata RM5.989 bilion telah dibelanjakan pada 2015 berbanding RM5.850 bilion tahun sebelum ini.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu kira-kira RM1.889 bilion digunakan bagi membiayai perbelanjaan operasi dan RM4.0 bilion untuk pelaksanaan program-program serta projek-projek pembangunan manakala RM100 juta dikhaskan untuk Dana Luar Jangka.

“Berhubung perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2015, Sarawak membelanjakan RM3.620 bilion dan daripada jumlah itu RM1.838 bilion iaitu kira-kira 51 peratus adalah untuk pembangunan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, bagi suku pertama tahun ini (2016) kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.331 bilion dalam bentuk perbelanjaan biasa atau 25 peratus daripada peruntukan tahunan diluluskan iaitu RM5.373 bilion.

Katanya daripada jumlah itu perbelanjaan biasa (RM1.331 bilion) bagi suku pertama tahun ini, RM581 juta untuk perbelanjaan operasi manakala baki RM759 juta diperuntukkan kepada Akaun Dana-Dana Pembangunan.

“Bagi perbelanjaan pembangunan, pada suku pertama 2016, RM702 juta (12 peratus) daripada peruntukan tahunan diluluskan iaitu RM5.968 bilion telah dibelanjakan.

“Perbelanjaan dijangka meningkat kerana peningkatan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun ini,” jelasnya.

Menyentuh pencapaian projek-projek dibiayai kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Wong berkata sebanyak 472 projek telah diluluskan di bawah Rolling Plan pertama RMK11.

Tambahnya sehingga penghujung April 2016, 17 projek atau empat peratus daripada keseluruhan projek telah siap dilaksanakan manakala baki 455 projek (96 peratus) masih di pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Perbelanjaan terkumpul bagi tempoh berakhir hujung April 2016, 5.5 peratus atau RM221.7 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan (RM4.05 bilion) telah dibelanjakan,” kata Wong.

 

Advertisement