Anda di sini

Pemandu pelancong didakwa kendali harta pengganas Abu Sayaf

Advertisement

 Lisoffuan di bawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau bagi menghadapi pertuduhan mengikut kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Balik Pulau, semalam. — Gambar Bernama

DIBICARA: Lisoffuan di bawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau bagi menghadapi pertuduhan mengikut kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Balik Pulau, semalam. — Gambar Bernama

BALIK PULAU: Seorang pemandu pelancong didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengendalikan harta pengganas.

Lisoffuan Abdullah, 37, didakwa dengan pengetahuan mengendalikan harta pengganas yang bernama Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, yang merupakan anggota Kumpulan Pengganas Abu Sayyaf dengan cara memberikan perkhidmatan kewangan iaitu membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun Maybank bagi memberi manfaat kepada pengganas berkenaan.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Bayan Lepas, di i-Avenue, Medan Kg Relau 1, Bayan Lepas dekat sini antara 21 Okt tahun lalu hingga 29 April lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta terbabit.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju-T berwarna putih dan berseluar jeans biru itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzzuin Abdul Moati.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan kes itu tidak boleh dijamin di bawah Kanun Acara Jenayah.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan kes itu. — Bernama

 

Advertisement