Anda di sini

Masalah pembalakan haram ditangani dengan jayanya

Advertisement

Laporan oleh Saibi Gi,Patricia Gari,Jessica Jawing,Nick Fletcher dan Mohd Shafik Ahmad//

KUCHING: Sebanyak empat kes pembalakan haram telah dibicarakan di mahkamah setakat ini dengan keseluruhan 11 orang dituduh, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau menambah daripada jumlah tertuduh tersebut, tujuh orang telah dijatuhi hukuman penjara manakala empat orang lagi telah didenda atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Rizab Semulajadi dan Taman Negara 1998 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Sebagai tambahan, katanya satu kes merupakan kesalahan hutan di bawah Forests Ordinance 2015 dengan empat orang tertuduh masih dalam proses perbicaraan.

“Jabatan Hutan Sarawak telah menangani masalah pembalakan haram dengan jayanya di mana pada 2014, sebanyak 241 kes dengan 90,873 meter padu kayu balak dirampas atas kesalahan hutan di bawah Ordinan Hutan.

“Pada 2015, hanya sebanyak 208 kes direkodkan dengan 47,060 meter padu balak dirampas sekali gus menunjukkan jumlah kes telah menurun sebanyak 13 peratus manakala jumlah kayu rampasan pula turut menurun sebanyak 48 peratus.

“Setakat Mei 2016, hanya sebanyak 4,654 meter padu kayu balak telah dirampas melalui 46 kes yang direkodkan,” katanya menerusi ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Selain itu, Awang Tengah berkata sejak 2014, sebanyak 36 kilang papan telah berhenti beroperasi disebabkan kekurangan bekalan sumber kayu dan ada antara mereka didapati terlibat dalam pemprosesan balak haram.

Justeru, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkasakan lagi operasi pencegahan dengan menggunakan teknologi maju seperti dron, ‘hyperspectral’ dan pengimejan satelit bagi memastikan pengesanan awal dapat dilakukan.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut menubuhkan One Stop Compliance Centers (OSCC) dalam kawasan lesen bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan terhadap kesalahan, pematuhan syarat-syarat lesen pembalakan serta memudahkan pelaksanaan kerja-kerja pentaksiran royalti dalam kawasan lesen.

“Pemantauan yang ketat dan kerap dapat memastikan kerosakan hutan dan alam sekitar dikawal dengan lebih efisien serta memastikan semua pemegang lesen mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Sebanyak 48 buah OSCC telah dicadangkan untuk dibina pada tahun ini dengan 27 buah daripadanya telah beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Sementara menyentuh mengenai prestasi industri perkayuan, Awang Tengah berkata prestasi eksport kayu Sarawak bagi tempoh suku pertama 2016 telah menurun disebabkan keadaan pasaran global yang tidak menentu.

“Jumlah nilai eksport menurun sebanyak 1.8 peratus kepada RM1.62 bilion berbanding dengan RM1.65 bilion pada tempoh sama pada 2015.

“Penurunan nilai eksport ini disebabkan kekurangan permintaan daripada negara-negara pengimport utama seperti Jepun, Taiwan, Timur Tengah, China dan Thailand,” katanya.

Bagi nilai eksport papan lapis yang merupakan produk utama, beliau berkata ia turut susut sebanyak 13.5 peratus kepada RM791.5 juta berbanding dengan RM914.7 juta pada tempoh sama bagi 2015.

 

Advertisement