Anda di sini

Empat mangsa culik Abu Sayyaf selamat kembali

Advertisement
 Wong Teck Kang mendakap anak sulungnya ketika tiba di kediamannya di Jalan Pulau Li Hua, Sibu, semalam.

MELEPASKAN KERINDUAN: Wong Teck Kang mendakap anak sulungnya ketika tiba di kediamannya di Jalan Pulau Li Hua, Sibu, semalam.

SIBU: Empat rakyat Sarawak berasal dari Sibu yang dilepaskan kumpulan Abu Sayyaf tiba di sini dengan selamat pagi semalam.

Keempat-empat mereka Wong Teck Kang, Wong Teck Chii, Johnny Lau dan Wong Huang Sing tiba di Lapangan Terbang Sibu sekitar jam 8.50 pagi semalam dengan menaiki pesawat MH3183 dari Kota Kinabalu.

Turut serta bersama-sama mereka ialah bapa kepada Wong Teck Kang dan Wong Teck Chii iaitu Wong Chie Ming.

Ketika turun dari pesawat, semua mereka berpakaian biasa dan bertopi.

Pihak media berada di ruang menunggu Lapangan Terbang Sibu (LTS) seawal jam 7 pagi, bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang komen daripada mereka.

Sebaliknya, mereka terus bergegas keluar dari balai ketibaan dan menuju ke kenderaan yang menunggu.

Sementara itu, Wong Chie Ming (bapa dua mangsa) dijangka akan mengadakan perjumpaan dengan media pada jam 10 pagi ini di kediamannya di Jalan Pulau Li Hua di sini.

Pada 1 April lalu, keempat-empat mereka yang merupakan kru kapal tunda Massive 6 diculik sekumpulan lapan lelaki bertopeng lengkap bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah sebelum dilarikan ke Filipina.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6 petang.

 

Advertisement