Anda di sini

Askar digilis lori

Advertisement

Oleh Jeremy Lanson//

Rakan seangkatan mangsa membantu mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HUS bagi tujuan bedah siasat.

MAUT:Rakan seangkatan mangsa membantu mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HUS bagi tujuan bedah siasat.

KUCHING: Seorang anggota tentera terbunuh selepas motosikal yang diboncengnya dilanggar sebelum dia digilis sebuah lori muatan simen di Kota Sentosa di sini, semalam.

Difahamkan mangsa, Mohamad Haiqal Azmi, 21, semasa kejadian dikatakan membonceng sebuah motosikal yang ditunggang rakan seangkatannya sekitar jam 4 petang.

Menurut sumber, motosikal mereka dikatakan dilanggar sebuah lori dari arah belakang sehingga menyebabkan motosikal tersebut terbabas dan mangsa yang tercampak dari atas motosikal digilis lori berkenaan.

“Mangsa dikatakan membonceng motosikal berkenaan apabila mereka dilanggar sebuah lori muatan simen menyebabkan dia tercampak dari atas motosikal dan keadaan mangsa lebih parah apabila dia turut digilis lori tersebut,” kata sumber.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut kemudian segera menghubungi pihak hospital dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan siasatan berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan oleh pihak polis.

Manakala pemandu dikatakan tampil menyerah diri di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki terbunuh dan seorang lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Kedandi di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang maut ialah Mohd Fikri Chung Abdullah, berusia 30 tahun dan berasal dari Jalan Foochow.

“Difahamkan, kereta yang dipandu mangsa(Fikri) terbabas lalu merempuh pokok di tepi jalan berkenaan menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan Fikri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala seorang lagi mangsa mengalami cedera parah dan telah dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber yang turut memberitahu, anggota bomba juga dikerahkan untuk kerja-kerja pembersihan serpihan dan tumpahan minyak.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

 

Advertisement