Anda di sini

Tengku Abdullah minta tentera dan polis baik pulih rumah mangsa ribut

Advertisement

TEMERLOH: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta pasukan tentera dan polis bersama-sama agensi kerajaan berkaitan supaya turun padang membantu membaik pulih rumah penduduk di tiga buah kampung di daerah ini, yang terlibat dengan kejadian ribut, petang Sabtu lepas.

Tengku Mahkota Pahang itu bertitah khidmat sosial yang dilakukan menerusi program Jiwa Murni tersebut dapat mengurangkan bebanan penduduk lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri, tidak lama lagi.

“Kita minta tentera bantu percepatkan projek baik pulih rumah yang terjejas sebelum Aidilfitri. Saya berharap ia dapat dilakukan dengan kerjasama pejabat daerah dan orang kampung. Kalau polis ingin turut serta, juga digalakkan,” katanya.

Baginda bertitah demikian di majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa ribut dari tiga buah kampung yang terlibat iaitu Kampung Desa Murni Sanggang, Desa Murni Songsang dan Desa Murni Kerdau di Dewan Orang Ramai Desa Murni, di sini semalam.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, serta Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas khas Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga ADUN Kerdau.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said.

Tengku Abdullah turut menyeru semua mangsa yang terlibat supaya tabah menghadapi dugaan tersebut dan pada masa yang sama bersyukur kerana tiada mangsa cedera dalam kejadian ribut itu.

Baginda sebelum itu, diberikan taklimat hampir 15 minit mengenai kejadian ribut berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Temerloh, yang juga merupakan pegawai daerah berkenaan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Selepas menyampaikan bantuan, Tengku Abdullah mencemar duli meluangkan masa melawat rumah yang terjejas dalam kejadian itu, sebelum dijadual berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Kuala Tekal di sini, petang ini.

Dalam kejadian ribut pada jam 6.30 petang Sabtu lepas, sebanyak 146 rumah, 21 gerai dan kedai, sebuah masjid, dua surau dan empat bangunan infrastruktur awam di tiga buah kampung berkenaan mengalami kerosakan melibatkan 753 penduduk dan mengakibatkan kerugian lebih RM620,000. — Bernama

Advertisement