Anda di sini

Pertingkat rondaan, kawalan bagi kurangkan kes jenayah

Advertisement

MBM minta polis tingkat rondaan, kawalan bagi mengurangkan risiko pecah rumah dan kecurian

// Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai meminta polis di sini mempertingkatkan rondaan dan kawalan keselamatan bagi mengurangkan risiko berlakunya kes-kes pecah rumah dan kecurian di sekitar bandar raya ini.

Lai juga minta polis memberi tumpuan di lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kejadian pecah rumah serta kecurian di kawasan Bandar Baharu Permyjaya di sini.

Beliau mengulas mengenai perkara tersebut semalam selepas menerima aduan berikutan berlaku satu lagi kes pecah masuk di sebuah pejabat milik syarikat kontraktor di kawasan perindustrian Permyjaya di Lutong pada 10 Jun lalu.

Dalam kejadian tersebut, pencuri memecah masuk bangunan menempatkan stor dan pejabat syarikat kontraktor tersebut dan telah mencuri dua mesin pemotong rumput serta dua unit tangga milik syarikat berkenaan.

Hanya selang dua atau sehari kemudian, pemilik syarikat kontraktor terbabit turut dikejutkan pagi semalam apabila menyedari pejabat yang dipecah masuk pada Jumaat lalu dipecah masuk lagi.

Kali ini unit CPU komputer, mesin penapis air minuman (untuk sejuk dan panas) dan pagar tahan karat di luar bangunan itu dicuri.

Anggaran kerugian masih belum dipastikan namun dianggarkan lebih RM10,000.

“Laporan polis sudah dibuat mangsa, sehubungan itu saya minta polis bertindak menyelesaikan kes kecurian seumpama ini dengan segera.

“Ini penting agar keyakinan rakyat terhadap aspek keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di bandar raya ini tidak goyah,” katanya.

“Saya juga menggesa agar polis meningkatkan rondaan bagi memastikan isu-isu keselamatan di kawasan terbabit terjamin,” tambah beliau.

Aduan tersebut antara isu dikemukakan kepada beliau semasa dialog bersama penjaja-penjaja Jalan North Yu Seng di sini, semalam.

Advertisement