Anda di sini

Penganjuran pesta, regata tarik pelancong

Advertisement

Ia juga sebagai platform penjanaan ekonomi tambahan kepada rakyat Sarawak: John Sikie

// Laporan oleh Patricia Gari, Nick Fletcher, Agnes Tugong, Rusnan Mustafa, Siti Aisyah Ramli, Henrietta Liza //

KUCHING: Penganjuran pesta dan regata di seluruh negeri ini diyakini berupaya menarik kehadiran pelancong dari luar negeri selain sebagai platform penjanaan ekonomi tambahan kepada rakyat Sarawak.

Menurut Menteri Muda Kesenian dan Kebudayaan Datuk John Sikie Tayai, untuk tujuan itu kerajaan telah mempergiatkan usaha mempromosi dan memasarkan pesta dan regata menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sarawak.

Ia jelasnya termasuk me-rancakkan promosi bukan sahaja di peringkat negeri, malah turut membabitkan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebagai contoh, penganjuran Sarawak International Regatta yang diadakan selama 10 hari iaitu 18 hingga 27 September tahun lalu, telah membuka peluang perniagaan kepada kira-kira 1,687 peniaga selain berjaya menjana hasil pendapatan sebanyak RM1.4 juta.

“Dalam hal ini, kerajaan berasakan, inisiatif seperti memberi latihan dan bim-bingan kepada penganjur adalah perlu termasuk bagi menguruskan acara, latihan keselamatan dan menyelamat nyawa, latihan promosi serta latihan pemasaran atas talian amat penting diadakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohammad Razi Sitam (BN-Saribas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Tambahnya, penganjuran pesta dan regata juga membolehkan negeri ini menonjol serta mempamer unsur-unsur sejarah, kesenian dan kebudayaan tempatan sebagai pengisian sepanjang pesta berlangsung.

“Malah, kementerian juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak (swasta mahupun kerajaan) untuk membangun dan merancang penganjuran pesta yang mempunyai potensi untuk menarik pengunjung datang ke negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, kerajaan juga menyediakan insentif galakan untuk pelaksanaan pesta termasuk pembiayaan sebahagian kos penganjuran, khidmat promosi menerusi laman web Kementerian Pelancongan, STB mahupun Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan selain pengiktirafan menerusi Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak.

Ketika menjawab dua soalan tambahan, beliau menjelaskan antara pesta dan regata yang telah dianjurkan di seluruh negeri ini termasuk Regata Sarawak, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Festival Menuai Sedunia (WHF), Pesta Ikan Buntal, Regata Baram, Pesta Kapit, Pesta Benak Sri Aman, Pesta Nanas Sarikei dan banyak lagi.

Untuk penganjuran pesta-pesta itu katanya, bagi 2015 kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.14 juta manakala RM5 juta diper-untukkan tahun ini untuk penganjuran lebih banyak pesta dan regata di seluruh negeri Sarawak.

Advertisement