Anda di sini

KOSPEN akan diperluas dalam kalangan penjawat awam: Ali

Advertisement
 Ali (kiri) diberi taklimat oleh Penolong Pegawai Kesihatan Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, Muhammad Ali Abdul Kadir di ruang pameran Forum ‘Love Your Kidney’ anjuran PUSPANITA Kebangsaan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

KHUSYUK: Ali (kiri) diberi taklimat oleh Penolong Pegawai Kesihatan Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, Muhammad Ali Abdul Kadir di ruang pameran Forum ‘Love Your Kidney’ anjuran PUSPANITA Kebangsaan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) akan memperluaskan khidmatnya dalam kalangan penjawat awam sebagai usaha membantu menangani peningkatan masalah penyakit tidak berjangkit, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan secara menyeluruh dengan kesemua kementerian, dan program ini dijangka akan mula dilaksana pada tahun ini,” katanya.

KOSPEN mula diperkenalkan pada 2013 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memberi perkhidmatan saringan kesihatan percuma melibatkan masyarakat awam di peringkat komuniti.

Ali berkata khidmat pemeriksaan kesihatan percuma di hospital-hospital kerajaan telah disediakan oleh kerajaan untuk penjawat awam, dan program KOSPEN di peringkat semua kementerian pula bermatlamat untuk meningkatkan jumlah capaian saringan kesihatan.

“Penyakit seperti darah tinggi, buah pinggang dan kencing manis boleh kita elakkan jika dikesan dan dikawal dari peringkat awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Forum Kesihatan Siri 1: ‘Love Your Kidney’ yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhimatan Awam (PUSPANITA) dan KKM di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKM Datuk Dr Chen Chaw Min berkata program Kospen yang akan diperluas di peringkat penjawat awam akan dilaksana secara berkala bagi memberi maklumat tahap kesihatan kepada mereka dari semasa ke semasa.

“Perkhidmatan pemeriksaan di hospital yang ditawarkan tidak mendapat sambutan cukup memberangsangkan memandangkan sebahagian mereka menganggap ianya membebankan dari segi masa dan tenaga untuk mendapatkan pemeriksaan di sana.

“Oleh itu, melalui program Kospen, pihak kementerian akan memudahkan penjawat awam mendapatkan khidmat tersebut kerana ianya akan dilakukan di pejabat mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement