Anda di sini

Peraduan menulis sastera kreatif galak kreativiti guru

Advertisement

KUCHING: Peraduan menulis sastera kreatif dan kritikan sastera sempena Hari Guru mampu menggalakkan kreativiti guru dalam bidang kebahasaan dan kesusasteraan.

Malah menurut Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon peraduan seperti ini dapat melonjakkan keupayaan berfikir guru sebagai model kepada anak didik mereka.

“Keupayaan berfikir adalah asas paling penting dalam bidang kebahasaan dan kesusasteraan sebab itu jabatan amat menyokong penganjuran peraduan ini antara warga pendidik.

“Kita akan meneruskan penganjuran peraduan ini pada tahun akan datang kerana ada kemungkinan karya daripada peraduan ini dapat digunakan sebagai teks dalam kurikulum sekolah,” katanya.

Malah Rakayah turut berbangga kerana ada karya sastera guru Sarawak yang sudah menjadi kurikulum sekolah Malaysia.

Antaranya, Drama Hemodialisis dalam Antologi Gema Semi Gadis Genius oleh Jais Sahok dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan Dua dan Novel Tirani dalam KOMSAS Tingkatan 4 oleh Bibi Sabariah.

“Saya berharap lebih ramai lagi nama guru Sarawak tersenarai sebagai penyumbang ilmu dalam pelbagai genre dan bentuk dalam tamadun pendidikan negara,” katanya.

Dalam pada itu, peraduan yang menjadi aktiviti tahunan sempena Hari Guru ini telah berjaya melahirkan Antologi Cikgu yang memuatkan sajak dan cerpen dalam Bahasa Melayu (BM), Inggeris (BI) dan Iban serta esei kritikan sastera.

Genre cerpen BM telah dimenangi Siti Nur Hidayah Abdullah (SMKA SHOW), manakala genre cerpen BI dan Iban masing-masing dimenangi Sing Gin Eng (SMK Marudi) dan Batik Bidin.

Genre sajak pula dimenangi Abang Median Abang Said dari SMK Marudi dan genre esei kritikan sastera dimenangi Bandang Galayan dari SK Long Apu.

Hadiah telah disampaikan pada Majlis Apresiasi Guru sempena Majlis Meraikan Hari Guru 2016 baru-baru ini oleh Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Advertisement