Anda di sini

Pasukan tindakan khas iringi kapal Orkim Reliance

Advertisement
 Kapten Kapal Orkim Reliance Sudjadi A. Sungkowo (tengah) memberi taklimat kepada Abdul Muhaimin (kiri) ketika Ops Pagar Laut membabitkan anggota STAR mengiringi Kapal Orkim Reliance dari perairan Sandakan ke Tawau, di Sandakan, semalam. — Gambar Bernama

TAKILMAT: Kapten Kapal Orkim Reliance Sudjadi A. Sungkowo (tengah) memberi taklimat kepada Abdul Muhaimin (kiri) ketika Ops Pagar Laut membabitkan anggota STAR mengiringi Kapal Orkim Reliance dari perairan Sandakan ke Tawau, di Sandakan, semalam. — Gambar Bernama

Langkah awal maritim membendung rompakan dan lanun

SANDAKAN: Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) Maritim Malaysia mengiringi Kapal Orkim Reliance dari perairan Sandakan ke Tawau menerusi pelaksanaan Op Pagar Laut, semalam.

Operasi keselamatan itu sebagai langkah awal membendung rompakan mahupun kegiatan lanun.

Ketua STAR Maritim Malaysia Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kapal tersebut merupakan sebuah kapal yang membawa sejumlah besar cecair berharga, telah memulakan pelayarannya dari Pelabuhan Sungai Udang, Melaka pada 6 Jun lepas dan tiba di Sandakan, semalam sebelum mengakhiri pelayarannya di Tawau.

Katanya operasi iringin ini melibatkan tujuh anggota STAR serta sokongan dari Kapal Maritim Malaysia serta anggota dari daerah dan pangkalan bagi memastikan atur gerak operasi berjalan lancar serta aset udara juga akan bertindak sekiranya keadaan memerlukan.

“Pelaksanaan operasi ini bagi mempergiat lagi usaha dalam memastikan kawasan Zon Maritim Malaysia sentiasa selamat daripada ancaman di laut,” katanya di sini.

Abdul Muhaimin berkata setiba di laluan titik panas Orkim Reliance akan menghubungi Maritim Malaysia setiap 30 minit bagi melaporkan perkembangan situasi semasa.

Katanya Maritim Malaysia pula akan memastikan keselamatan kapal tersebut dengan mengarahkan aset yang berhampiran membuat pemantauan secara berterusan.

Abdul Muhaimin berkata operasi ini telah melalui beberapa siri iringan dan ia merupakan sebahagian daripada tugas serta perkhidmatan yang boleh diberikan Maritim Malaysia kepada pengguna laluan laut.

Iringan ini dilaksanakan di beberapa kawasan titik panas sekitar perairan Selat Melaka, Laut China Selatan serta Laut Sulu, katanya.

Menurutnya pelaksanaan operasi iringan ini merupakan rentetan dari kejadian rampasan kapal MT Orkim Harmony yang merupakan sebuah kapal dagang yang membawa sebanyak 5,879 tan metrik muatan petrol Ron 95 bersama 22 kru kapal.

Katanya kapal tersebut hilang semasa dalam pelayarannya dari Melaka menuju ke Pelabuhan Kuantan, Pahang di kedudukan 23.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Sedeli, Johor pada 11 Jun tahun lepas.

Berikutan itu, misi pencarian digerakkan membabitkan 12 kapal peronda dan tiga aset udara Maritim Malaysia yang berjaya mengesan kapal Orkim Harmony lapan hari kemudian di kawasan perairan Vietnam dan pada hari berikutnya kapal itu ditahan dan diiringi ke Pelabuhan Kuantan untuk siasatan lanjut.

Abdul Muhaimin berkata Maritim Malaysia akan terus mempertingkat lagi pemantauan dan rondaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.

Katanya jika terdapat sebarang aduan atau kecemasan, Maritim Malaysia berharap agar orang ramai dapat bekerjasama dalam memberikan maklumat yang lengkap kepada agensi itu menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999. — Bernama

Advertisement