Anda di sini

Kos rumah tinggi masih menjadi faktor rakyat gagal beli rumah

Advertisement

KUCHING: Kos rumah tinggi masih menjadi faktor menyumbang kepada kegagalan rakyat memiliki kediaman sendiri terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong yang kini pesat membangun.

ADUNnya, Fazzrudin Abdul Rahman berkata kepesatan pembangunan konstituensi itu turut meningkatkan jumlah kepadatan penduduk.

Justeru ia disifatkan sebagai cabaran utama di kawasan itu yang menerima penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar untuk mencari peluang meningkatkan kehidupan.

Ternyata pertambahan penduduk itu memaksa mereka mencari tempat tinggal malah ada yang sanggup membina rumah di atas tanah bukan hak miliknya.

“Oleh itu saya mohon agar lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana dibina di kawasan DUN Tupong,” katanya.

Menjelas lanjut, katanya Kementerian Perumahan telah banyak memberi peluang untuk masyarakat memiliki rumah dengan skim perumahan dan flat.

Menjelaskan perkara itu, katanya di Tupong sendiri mempunyai beberapa kawasan perumahan kos rendah dan sederhana selain flat kediaman.

Bagaimanapun, kategori pemilikan flat itu jelasnya mempunyai syarat yang berbeza antara satu sama lain.

“Jika perkara ini tidak diselaras dan diurus dengan baik pasti memberi cabaran yang besar kepada kita,” ujarnya.

Namun, kekangan masa kini adalah kos membeli di pasaran luar yang tinggi selain cabaran kerajaan memenuhi permintaan rumah kos rendah berbanding kadar penghijrahan dan pertambahan penduduk yang ketara.

Fazzrudin mencadangkan agar kajian dan tindakan dibuat untuk melihat kepada kemampuan penghuni mencari dan membeli rumah dengan kos di luar kemampuan mereka.

Advertisement