Anda di sini

Ikrar Budiman: Tingkat pendidikan, ekonomi, pelancongan di Sg Besar

Advertisement

SUNGAI BESAR: Pendidikan, inovasi ekonomi dan ekopelancongan di Sungai Besar merupakan tiga aspek utama yang terkandung dalam Akujanji calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi, yang dilancarkan semalam.

Ikrar itu merupakan perkara yang akan dilaksanakan sekiranya beliau diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata aspek pendidikan tersebut merangkumi pendekatan ‘1 Keluarga 1 Mahasiswa’ dengan beliau menyasarkan untuk membangunkan program-program pendidikan yang komprehensif untuk setiap anak Sungai Besar.

“Anak-anak Sungai Besar yang merupakan cahaya masa hadapan negara akan diasuh untuk cemerlang dalam pendidikan demi masa depan keluarga dan negara,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan ‘Ikrar Budiman’, di sini semalam.

Mengenai aspek inovasi ekonomi, Budiman berkata tumpuan dan usaha akan diberikan untuk menambah baik serta membuka peluang ekonomi baharu melalui percambahan inovasi dan idea baharu untuk meningkatkan pendapatan serta nilai tambah dalam setiap industri yang diceburi oleh penduduk Su-ngai Besar.

Beliau berkata kekuatan ekonomi Sungai Besar adalah berasaskan kepada pertani-an, perladangan, perikanan, penternakan, industri asas tani serta industri kecil dan sederhana.

Budiman juga memberi akujanji untuk memperkenalkan program yang membangunkan konsep ‘Sungai Besar; pusat pelancongan Eco-Tourism’ dengan membawa pelancong dari dalam dan luar negara menjadi produk baharu ekonomi penduduk di kawasan Parlimen itu.

“Keindahan alam semula jadi, keramahan warga Sungai Besar, keunikan budaya yang pelbagai serta limpahan produk-produk ekonomi setempat menjadikan Sungai Besar unik,” katanya.

‘Ikrar Budiman’ antara lain turut menggariskan janji ADUN Sungai Panjang itu untuk menumpukan sepenuh daya usaha dan tenaga membantu menyelesaikan permasalahan penduduk Sungai Besar, dari Sungai Panjang sehinggalah ke Sekinchan, tanpa mengira keturunan, agama, kaum dan latar belakang politik.

Selain itu, Budiman memberi akujanji untuk menjadi perantara antara penduduk Sungai Besar dan kerajaan Persekutuan dengan membawa setiap permasalahan serta rintihan penduduk kawasan itu untuk didengari dan diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan.

Calon BN tersebut juga akan memastikan setiap dasar, inisiatif dan bantuan Kerajaan Persekutuan akan dilaksanakan serta dinikmati oleh setiap penduduk di Sungai Besar.

Budiman dalam pada itu memberi jaminan untuk menambah baik infrastruktur di Pasar Awam Sekinchan yang dilihat sangat teruk dan tidak terurus.

“Agenda saya ialah untuk tambah baik kemudahan infrastruktur di pasar itu demi keselesaan peniaga dan pengunjung. Saya juga dapat aduan daripada penyewa yang mengeluh kerana harga sewaan tapak naik mendadak daripada asal RM80 kepada RM180. Saya sangat duka-cita dengan kenaikan sewa ini sedangkan tidak banyak infrastruktur dibuat oleh pihak kerajaan Selangor,” katanya.

PRK Parlimen Sungai Besar bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Budiman; calon PAS yang juga ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. — Bernama

Advertisement