Anda di sini

Semua agensi kerajaan perlu lipat ganda usaha realisasikan projek RMK11

Advertisement

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu semua agensi kerajaan melipatgandakan usaha bagi memastikan semua program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dilaksanakan dengan jayanya untuk manfaat rakyat.

Menurut beliau, salah satu teras utama RMK11 adalah transformasi luar bandar dan mampu mengubah landskap pembangunan kawasan berkenaan.

“Ia amat tepat kerana kawasan luar bandar di negeri ini sangat luas dan masih memerlukan perhatian yang khusus oleh kerajaan.

“Saya berharap usaha ini akan dapat mengimbangi jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya berucap merasmikan Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dihadiri isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib di Kompleks DUN di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu selain barisan kabinet negeri dan ADUN.

Tun Taib turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya terus memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan merealisasikan agenda pembangunan negeri.

Katanya, beliau bersyukur kerana ekonomi negeri Sarawak terus tumbuh walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global dengan kadar pertumbuhan dijangka berkembang sekitar 4.0 peratus pada tahun 2016.

“Dengan asas ekonomi yang kukuh dan disokong oleh aktiviti pelaburan yang menggalakkan, ekonomi Sarawak diyakini akan terus berkembang.

“Sarawak merupakan satu daripada destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur tempatan dan asing dan menurutnya pelaburan adalah penting bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat,” kata beliau.

Tun Taib selain itu juga menjelaskan dalam usaha untuk membangunkan negeri Sarawak, hubungan rapat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan adalah sangat penting.

Katanya, ini kerana Sarawak masih memerlukan perhatian yang khusus daripada kerajaan persekutuan, terutama dalam penyediaan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

“Saya yakin hubungan dan kerjasama rapat yang sedia terjalin akan memudahkan usaha kedua-dua belah pihak untuk berbincang, terutama mengenai keperluan pembangunan di negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, menerusi mandat besar yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, ia akan membolehkan kerajaan negeri berbincang dengan kerajaan persekutuan secara berkesan bagi mengimbangi tahap pembangunan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Tun Taib pada masa sama menyampaikan takziah kepada semua anggota keluarga mangsa nahas helikopter yang terhempas di Sungai Batang Lupar, Sebuyau pada 5 Mei lepas.

“Pengorbanan dan jasa mereka akan tetap abadi dan dikenang seluruh rakyat Sarawak. Kita juga berdoa dan berharap semoga ahli keluarga mangsa sentiasa tabah menghadapi dugaan ini,” kata beliau.

Advertisement