Anda di sini

Peniaga barang terpakai didenda RM8,500

Advertisement

Didakwa atas dua tuduhan termasuk jalankan perniagaan barang lusuh tanpa lesen sah

// Oleh Reno Benjamin //

SIBU: Seorang peniaga barangan terpakai dijatuhi hukuman denda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret Mukah atas dua pertuduhan termasuk menjalankan perniagaan barangan lusuh tanpa lesen sah.

Loi Koi Hui, 36, bagi pertudu-han pertama didakwa gagal mempamerkan lesen perniagaan barangan terpakai semasa pemeriksaan dibuat pada 23 Februari lalu kira-kira jam 10.30 pagi di Mukah Recycle Centre, Jalan Mukah/Balingian.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Peniaga Sekendhend 1946 (Akta 189) dan dijatuhi hukuman denda RM700 atau sebulan penjara oleh mahkamah.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Loi didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Untuk kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman denda sejumlah RM7,800 atau tiga bulan penjara.

Loi berasal dari Bandar Baru Permayjaya, Miri membayar semua denda dikenakan.

Berdasarkan fakta kes, pada 23 Februari lalu kira-kira jam 10.30 pagi di Mukah Recycle Centre, Jalan Mukah/Balingian, sepasukan anggota polis diketuai ASP Julius Panai membuat pemeriksaan.

Semasa pemeriksaan, tertuduh bertindak dengan nada suara tinggi mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah sambil meludah ke arah anggota polis yang menjalankan tugas mereka.

Walaupun dinasihati supaya memberi kerjasama namun Loi masih enggan bekerjasama memaksa polis menangkap tertuduh kerana menghalang polis menjalankan tugas.

Advertisement