Anda di sini

Lelaki dipenjara tiga tahun, denda RM300 curi motosikal

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki, 35, pernah disabitkan kesalahan mencuri motosikal sebelum ini dijatuhi hukuman tiga tahun penjara atas satu lagi tuduhan mencuri motosikal Mac lalu.

Tertuduh, Zaidy Selumon dijatuhi hukuman denda RM300 oleh Majistret Sofia Sawayan namun gagal membayar denda terbabit dan diperintah menjalani tambahan tiga bulan penjara.

Mengikut pertuduhan, Zaidy didakwa mencuri sebuah motosikal Honda Wave berwarna biru pada 3 Mac lalu antara jam 10.30 pagi hingga 7 malam di tepi bangunan kosong, Jalan Mui Huong.

Motosikal tersebut dianggarkan bernilai RM5,000 adalah milik Tang Hua Kui.

Bagi tuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa hendak pergi ke sebuah klinik swasta mendapatkan rawatan 3 Mac lalu jam 10 pagi, beliau meletakkan motosikal itu di luar bangunan kosong, Jalan Mui Huong di sini dalam keadaan berkunci.

Semasa mangsa hendak mengambil motosikal kira-kira jam 11.30 pagi mendapati motosikalnya hilang dipercayai dicuri.

Pada 5 Mac, kira-kira jam 2 petang di Jalan Foochow, di sini sepasukan anggota polis menahan dan menangkap seorang lelaki iaitu tertuduh.

Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu batang ‘Allen Key’ yang diubah suai dalam poket hadapan sebelah kanannya dipercayai digunakan tertuduh mencuri motosikal.

Siasatan mendapati tertuduh menjual motosikal terbabit kepada seorang pemilik kedai, 43, dan isterinya di Batu 88.5, Jalan Sibu-Bintulu.

Advertisement