Anda di sini

Bapa dua anak didakwa atas tuduhan melakukan samun dan rompak bersenjata

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bapa dua anak mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan samun dan rompak bersenjata di tiga buah kedai serbaneka, antara April dan Mei lepas.

Wong Kum Hoy, 40, pekerja kedai aksesori kereta, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan pistol dan mengambil wang tunai RM1,100 milik Kedai Speedmart Alam Damai 2, di Cheras di sini, pada jam 8.45 malam, 5 Mei lepas.

Hakim Zainal L. Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, Wong didakwa melakukan kesalahan sama dengan bersenjatakan suatu objek menyerupai sepucuk pistol terhadap seorang lelaki warga Bangladesh, Alam Mohammad Khorshedul.

Bapa kepada dua anak berusia empat dan setahun itu didakwa mengambil dan melarikan wang tunai RM576 dan seunit Bir Special Blue Tin bernilai RM592.90 di KK Supermart & Superstore, No 61, Jalan 2, Taman Len Sen, Cheras di sini, padajam 10.59 malam, 10 April lepas.

Kunasundary membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah yang mengendalikan kedua-dua kes itu tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Sementara itu, di hadapan Hakim Balqis Aini Mohd Ali, Wong didakwa merompak wang tunai RM668 dan setin bir bernilai RM16.90 dengan mengacukan suatu objek menyerupai pistol di KK Supermart & Superstore, No. 10, Jalan Cerdik, Taman Connaught, Cheras di sini, pada jam 11.36 malam, 10 April lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bercagar serta dikenakan syarat tambahan terhadap tertuduh.

Balqis Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mahkamah menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga kes itu.

Peguam Wong Kar Fai dan S.Devananthan mewakili tertuduh. — Bernama

Advertisement