Anda di sini

Wong direstui kekal bersama UPP

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa//

 

KUCHING: Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh mendapat restu daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk terus kekal bersama Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Wong selaku Presiden UPP mendedahkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri pagi semalam untuk mendapatkan nasihat mengenai perkara tersebut.

“Seperti yang anda maklum dengan tiga wakil rakyat Bumiputera UPP yang mahu memohon memasuki PBB, berhubung wakil rakyat, kami (UPP) hanya ada dua wakil rakyat sahaja, saya sendiri dan Datuk Tiong Thai King.

“Maka itu, saya berjumpa dengan Ketua Menteri mendapatkan nasihatnya mengenai perkara yang kami dapat lakukan dan Ketua Menteri menasihatkan kami untuk terus berfungsi sebagai sebuah parti mesra Barisan Nasional (BN), Pro-BN mendapatkan sokongan rakyat untuk BN dan bekerja untuk BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas mengenai perkembangan perkara tersebut di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur Petra Jaya di sini semalam.

“Oleh itu, saya ingin merayu kepada ahli-ahli UPP terus bertenang. Kita terus berfungsi sebagai sebuah parti dalam satu keluarga besar atau dalam keluarga BN dan kita terus berkhidmat kepada rakyat seperti dahulu,” tambah Wong.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli-ahli UPP terus bergerak ke hadapan berkembang dan merekrut lebih ramai ahli bagi mengukuhkan parti itu membantu BN negeri ini.

Pada masa sama, beliau memberitahu UPP sentiasa mendukung semangat BN dan kekal setia kepada pucuk kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri.

Mengenai UPP, Wong menjelaskan parti itu kini mempunyai 26 cawangan seluruh Sarawak dan semua cawangan itu mempunyai pejabat sendiri dengan kakitangan serta beberapa pusat khidmat masyarakat.

“Kami ada lebih 30,000 ahli, UPP bukan sekadar untuk YB sahaja, UPP adalah untuk semua ahli, juga untuk semua masyarakat, semua penyokong.

“Justeru itu, kami mesti terus beroperasi sebagai sebuah parti namun seperti yang anda maklum dari hari pertama lagi kami mesra BN dan malah Perdana Menteri menganggap kami sebagai parti BN Plus. Beliau secara terbuka mengiktirafkan bahawa kami adalah BN Plus,” tegasnya.

Menurutnya, UPP juga menyediakan dana pendidikan melebihi RM30 juta memberi manfaat kepada rakyat memerlukan bantuan khususnya pelajar ingin melanjutkan pengajian mereka dari peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi.

“Kita mesti terus memberi bantuan dan untuk itu UPP terus menggunakan dana pendidikan itu membantu rakyat,” ujarnya.

Mengenai tiga wakil rakyat Bumiputera UPP memohon menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Datuk Dr Jerip Susil, Dr Johnical Rayong Nyipa dan Ranum Mina, Wong berkata: “UPP menerima keputusan dibuat ketiga-tiga wakil rakyat itu”.

“Saya sudah bertemu dengan mereka, kami masih bersahabat. Sudah tentulah kami mahu meminta mereka kembali tetapi saya juga faham, mereka rasa lebih selamat mungkin dalam keluarga besar seperti PBB dan sebagai wakil rakyat Bumiputera, mereka mungkin rasa PBB adalah keluarga besar untuk disertai.

“Jika tiga daripada mereka meninggalkan parti, tidak apalah. Kami akan meneruskan parti,” katanya.

Advertisement