Anda di sini

Puluhan juta jadi asap

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus//

 Bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran di kilang papan yang musnah dijilat api.

RANAP: Bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran di kilang papan yang musnah dijilat api.

SIBU: Tiga buah kilang dan dua gudang yang terletak di Zon Perindustrian Jalan Sukun di sini ranap dalam kebakaran petang semalam.

Nilai hartanah kilang dan gudang terbabit mencecah lebih daripada RM23 juta sekali gus menjadikannya kes kebakaran terbesar melibatkan kerugian di negeri ini pada tahun ini.

Ia membabitkan beberapa buah mesin pembuatan dan memproses baja di kilang baja, kilang papan dan kilang pembuat kapur termasuk dua gudang adalah tempat menyimpan mesin berat dan simen.

Kilang baja terbabit mempunyai rangkaian dengan sebuah kilang di Klang, Selangor yang merupakan satu-satunya kilang pengeluar baja di Asia Tenggara dengan produk mereka dieksport kepada lebih daripada 20 buah negara.

Dalam kebakaran itu, api memusnahkan semua produk dipercayai untuk tujuan eksport ke New Zealand.

Kilang papan dan kilang baja adalah yang paling teruk terjejas dengan anggaran kerugian sehingga RM10 juta, manakala gudang yang menyimpan jentera berat mengalami kerugian hampir RM3 juta.

Kerugian bagi dua lagi bangunan masih tidak diketahui lagi semasa berita ini ditulis.

Kilang papan itu telah beroperasi selama tiga dekad manakala kilang baja selama enam tahun.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Abdul Mutalib Rashid mengesahkan kebakaran itu, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.29 tengah hari.

“Empat puluh lima anggota bomba iaitu 10 dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan selebihnya dari balai kami di Sungai Merah, Balai Bomba Sentral dan Balai Bomba Bintangor bergegas ke tempat kejadian dan berusaha mengawal api daripada merebak dalam masa kurang daripada satu jam,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, mereka juga mengerahkan empat jentera, dengan masing-masing satu dari Bintangor dan Sungai Merah, manakala Balai Bomba Sentral menghantar dua jentera.

Menurutnya, JPAM turut membantu menghantar jentera kelima dan bersama-sama menghulurkan bantuan memadam kebakaran.

Bagaimanapun, Abdul Mutalib tidak mengesahkan punca kebakaran sambil memberitahu pihaknya akan berusaha menilai kos kerugian yang ditanggung oleh pemilik-pemilik kilang dan gudang terbabit.

Terdahulu, api dipercayai bermula dari kilang papan dan selang beberapa minit, ia merebak ke banyak bahagian belakang bangunan lain di mana kilang baja itu berada.

Dari situ, api merebak ke seluruh tiga bangunan bersebelahan.

Bomba turut mengesahkan tiada dinding penghadang api antara lima bangunan terbabit.

Seorang pegawai keselamatan berkata, ini adalah satu aspek kepentingan dalam siasatan.

Sehubungan itu, Abdul Mutalib berkata, pihaknya kecewa dengan tekanan air rendah semasa ketibaan anggota bomba.

Beliau berkata, tekanan meningkat selepas mereka menghubungi Lembaga Air Sibu.

Zon Perindustrian Jalan Sukun telah dibina lebih daripada tiga dekad lalu dan ia terletak sangat rapat antara satu sama lain sama ada kilang, gudang, stor dan sebuah Pusat Mel Sibu (Pos Malaysia).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebanyakan pekerja sedang berehat untuk makan tengah hari.

Ketika berita ini ditulis jam 5.30 petang semalam, pihak bomba yang turut menghadapi kesukaran berikutan tiupan angin kuat dan tekanan air rendah masih berusaha untuk mengawal kebakaran tersebut.

 Pihak bomba sedang mengawal api.

KAWAL: Pihak bomba sedang mengawal api.

 Tiada apa yang dapat diselamatkan lagi di kilang baja terbabit.

MUSNAH: Tiada apa yang dapat diselamatkan lagi di kilang baja terbabit.

Advertisement