Anda di sini

DUN catat sejarah kali pertama bersidang pada bulan Ramadan

Advertisement

KUCHING: Buat julung kalinya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berlangsung semasa bulan Ramadan iaitu dari 7 hingga 15 Jun 2016 atau 2 hingga 10 Ramadan 1437H.

Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, ia melakar sejarah apabila persidangan DUN diadakan semasa Ramadan buat pertama kalinya sejak lebih 100 tahun kewujudan perundangan tertinggi Sarawak.

“Tujuan kita mengadakan persidangan DUN semasa Ramadan, bukan untuk menghalang bukan Islam daripada makan dan minum, tetapi melatih orang Islam berdepan dunia dalam kesengsaraan serta lapar.

“Ini adalah pertama dalam sejarah lebih 100 tahun DUN kerana kalendar Islam adalah lunar, sama seperti kalendar Cina, jadi setiap tahun ia datang lebih awal dan kita tidak boleh mengelak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat prapersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Mengulas lanjut mengenai persidangan ke-18 DUN, Mohd Asfia berkata hanya satu rang undang-undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Bekalan Tambahan (Rang Undang-Undang 2015/2016).

Rang undang-undang itu akan dibaca oleh Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh pada 9 Jun diikuti bacaan kedua dan ketiga pada 13 Jun.

“Persidangan DUN kali ini, kita menerima 336 soalan daripada 44 Ahli Dewan setakat 20 Mei lalu dan daripada jumlah itu 269 adalah jawapan lisan manakala 65 jawapan bertulis,” jelasnya.

Mohd Asfia turut memberitahu tiga usul daripada Ahli Persendirian di bawah Perintah Tetap (Standing Order) 23 DUN iaitu dua daripada ADUN Batu Lintang, See Chee How dan satu lagi daripada ADUN Kota Sentosa, Chong Chieng Jen.

See, katanya, akan mengemukakan usul ‘Menyelesai dan mengesahkan kesungguhan menegakkan integriti wilayah Sarawak’ dan ‘Mencari komitmen Kerajaan Negeri untuk menyelesai dan mengurangkan banjir kilat di bandar raya Kuching.’

Manakala Chong, jelasnya, akan mengemukakan usul ‘Meminta Kerajaan Negeri agar tidak melengahkan proses menuntut serta perundangan dengan Kerajaan Pusat berhubung penurunan kuasa kepada Sarawak.’

Beliau turut memberitahu, majlis akan sumpah Ahli Dewan akan diadakan pada 7 Jun, manakala pada 8 Jun perbarisan Istiadat Pembukaan Baharu DUN (pagi) diikuti perutusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Perbahasan ke atas perutusan TYT akan diadakan pada Jumaat dan Isnin, manakala sesi soal dan jawab (Q&A) sama seperti sebelum ini. Tempoh perbahasan dan Q&A akan dihadkan,” ujarnya.

Mengenai penyusunan kedudukan Ahli Dewan dalam dewan, Mohd Asfia berkata ia berdasarkan jawatan dipegang dalam kabinet negeri dan kekananan mereka sebagai ADUN.

Bagi ADUN tanpa parti, beliau berkata mereka akan duduk bersama kumpulan ADUN Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Ahli Dewan tanpa parti adalah ahli langsung BN, oleh itu mereka akan duduk dalam kalangan Ahli Dewan dari BN,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan daripada beberapa pihak yang mahu DUN bersidang lebih kerap kerana bilangan DUN dan ADUN bertambah, Mohd Asfia berkata buat masa ini DUN bersidang seperti sebelum ini.

“Ini adalah persidangan pertama kita selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11 pada 7 Mei lepas, jadi buat sementara waktu amalan sedia ada akan digunakan (bersidang dua kali setahun).

“Mungkin selepas ini dicadangkan untuk kabinet mempertimbangkan semula apa jua cadangan kerana sebelum ini DUN Sarawak iaitu 71 adalah yang tertua dan terbesar, sekarang 82, tidak jauh bezanya daripada Parlimen, iaitu 222,” katanya.

Advertisement