Anda di sini

Uggah adakan perjumpaan dengan nelayan Zon A dan B seluruh S’wak

Advertisement

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas baru-baru ini mengadakan perjumpaan dengan nelayan Zon A dan B seluruh Sarawak anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak di sini.

Perjumpaan yang turut disertai Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Pesisir) dan Perikanan Datuk Julaihi Narawi adalah untuk mendengar masalah dan cabaran dihadapi golongan itu dalam memajukan bidang berkenaan.

Dengan maklumat itu, kerajaan dengan kerjasama nelayan akan berusaha mempertingkatkan taraf hidup nelayan.

Menerusi perjumpaan pada Jumaat lepas itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar mengalu-alukan nelayan menyalurkan maklumat tentang pencerobohan nelayan asing atau nelayan laut dalam ke zon pesisir pantai.

Sebelum itu, beliau mendengar taklimat oleh pegawai tertinggi kementerian beliau.

Sementara itu, Uggah diberi penjelasan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Sarawak berhubung isu kecurian sawit dalam satu perjumpaan di Miri baru-baru ini.

MPOB dinasihatkan beliau agar berjumpa dengan semua pihak terbabit dan berbincang mencari jalan penyelesaian, sebelum menggunakan pendekatan undang-undang.

Beliau turut berdialog dengan pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Miri untuk mendapatkan maklumat terkini bagi mencongak strategi merealisasikan pendapatan minimum RM4,000 sebulan isu rumah di kalangan penduduk luar bandar menjelang 2020.

Uggah mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk menggunakan dron dalam memantau projek berskala besar yang dibiayai kerajaan demi kebajikan penduduk luar bandar seperti skim getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan projek agropelancongan seperti skim tagang.

Beliau turut dimaklumkan tentang masalah perjawatan kakitangan jabatan tersebut.

Caj terlampau tinggi dikenakan syarikat pembalakan terhadap kontraktor Jabatan Pertanian yang menjalankan kerja-kerja di pedalaman yang mencecah berpuluh ribu ringgit bagi sekali perjalanan membawa peralatan atau jentera pertanian turut diajukan kepada Uggah.

Advertisement