Anda di sini

Riot kekal calon BN Parlimen Serian PRU14

Advertisement
 Dr Sim (tengah) bersama jentera SUPP bersama melaungkan kata-kata semangat.

SEMANGAT: Dr Sim (tengah) bersama jentera SUPP bersama melaungkan kata-kata semangat.

SUPP akan tampil enam muka baharu, Dr Sim gesa calon berpotensi turun padang

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian mengesahkan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem dikekalkan sebagai calon BN-SUPP pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.

Malah, beliau mendedahkan SUPP diperuntukkan tujuh kerusi Parlimen tetapi daripada jumlah tersebut enam calon muka baharu diperkenalkan pada PRU14 nanti terdiri kalangan generasi muda parti itu.

Justeru, beliau menggesa semua calon baharu berpotensi turun padang memberi khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Bagi PRU14 akan datang, kita perlu terus berusaha gigih kerana selain Serian semua kerusi Parlimen lain menyaksikan calon-calon baharu generasi muda.

“Saya menggesa calon baharu mula bekerja, mereka tidak perlu tunggu dicalonkan, anda berusaha mendapatkan pencalonan, anda tidak dicalonkan dahulu, baharu anda bekerja kerana anda perlu bekerja dan anda akan dicalonkan, bukan sebaliknya.

“Jangan selepas dicalonkan, anda tidak bekerja, berusahalah mendapatkan pencalonan anda,” katanya pada majlis menaikkan bendera sempena ulang tahun SUPP ke-57 di sini semalam.

Pada masa sama, Dr Sim memberitahu SUPP meletakkan calon muda pada PRU14 berdasarkan pengalaman pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lalu.

“Kita belajar daripada pengalaman dalam PRN11, kita bersetuju bahawa kita menurunkan calon-calon muda selepas ini bagi ahli muda yang mahu menjadi calon, sila bekerja untuk mencapai pencalonan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan setiap ahli parti tidak mempersia-siakan kepercayaan diberikan rakyat kepada SUPP.

“Kita mahu mengggunakan peluang ini meningkatkan kekuatan kita saban waktu kerana kita mahu terus maju ke hadapan,” jelasnya.

Pada PRU13 lalu, SUPP diperuntukkan tujuh kerusi Parlimen melibatkan kawasan Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sibu, Sarikei, Lanang dan Miri.

Advertisement