Anda di sini

Miri belum sedia asing sisa pepejal

Advertisement

Langkah tidak praktikal untuk setiap kediaman buat masa sekarang

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Penduduk Miri belum bersedia terlibat dalam kempen mengasingkan sisa pepejal isi rumah kerana tidak memiliki kemudahan lengkap untuk pelaksanaannya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai menyifatkan langkah tersebut tidak praktikal untuk dipraktikkan setiap kediaman di sini pada masa sekarang.

“Ramai menghubungi saya ingin tahu adakah MBM melaksanakan kempen ini. Saya beritahu sekarang kita (MBM) belum lagi menerima arahan Kementerian Kerajaan Tempatan,” katanya di sini kelmarin.

Kempen itu dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Johor sejak September tahun lalu.

Menerusi kempen ini, penduduk dikehendaki menyediakan sendiri apa-apa bekas bersesuaian atau plastik sampah mengasingkan sisa pepejal.

Namun, mereka digalakkan menggunakan plastik sampah berwarna biru untuk sisa kertas dan plastik sampah putih untuk sisa plastik dan plastik hijau untuk lain-lain bahan kitar semula.

Pengasingan diharap dapat mengurangkan peruntukan wang negara untuk proses pelupusan sisa pepejal.

Denda dikenakan kepada penduduk sekiranya gagal mengasingkan sisa pepejal yang merupakan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

Lawrence berkata, langkah tersebut dilihat baik untuk pengurusan sampah lebih teratur dan cadangan pelaksanaannya di sini akan dibincangkan dan dikaji.

Peruntukan besar juga diperlukan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan sesuai untuk pelaksanaan kempen ini.

“Untuk pelaksanaan kempen ini, kita perlu mengeluarkan perbelanjaan baharu iaitu menyediakan tong sampah sesuai. Kedua, mempraktikkan kerja mengutip dan mengumpul sampah ke stesen pemindahan sampah pepejal di Lambir. Di sana sampah akan dipadatkan sebelum dihantar ke pusat perlupusan,” jelas beliau.

Buat masa sekarang, MBM mencari tapak sesuai sebagai stesen pemindahan baharu menggantikan lokasi di Lambir kerana terletak berdekatan dengan kediaman.

Di tapak baharu nanti, MBM mencadangkan penyediaan kemudahan-kemudahan pengasingan sisa pepejal membolehkannya terlibat dalam kempen tersebut.

Advertisement