Anda di sini

Malaysia impikan juara sulung Piala Negara-Negara

Advertisement

MELAKA: Selepas menundukkan Singapura 3-0, selera skuad negara kian bertambah dengan mahu menjadikan Thailand sebagai mangsa seterusnya di final kejohanan bawah 21 tahun Piala Negara-Negara di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.

Ketua pasukan Mohd Faris Shah Mohd Rosli berkata kemenangan selesa ke atas Singapura semalam, memberi keyakinan tambahan dalam buruan menjadi juara edisi sulung kejohanan membabitkan empat negara itu.

“Saya sangat berpuas hati dengan aksi ketika menentang Singapura kerana semua pemain telah memberikan 100 peratus komitmen.

“Lagipun Singapura dan Malaysia adalah musuh tradisi dan kami sangat gembira dapat menewaskan mereka seterusnya bertemu Thailand di final.

“Sekarang kami perlu kekalkan momentum persembahan agar dapat memberikan aksi terbaik menentang Thailand di final,” katanya.

Mohd Faris Shah berkata beberapa kelemahan skuad negara sewaktu menentang Singapura telah dikenal pasti terutama kegagalan menyempurnakan peluang pada lewat permainan, dan ia perlu diatasi segera.

Ketika menentang Singapura, skuad negara yang juga pasukan projek Sukan SEA 2017 yang dikendalikan Frannk Bernhardt memperoleh gol mereka menerusi Muhamad Safawi Rasid pada minit ketiga diikuti dua gol pada babak kedua daripada Muhammad Shafiq Ahmad dan Nur Syamie Iszuan Amin.

Thailand pula mengesahkan tiket ke final selepas menundukkan Vietnam 2-0, kelmarin.

Sementara itu, pemain sayap, Mohammad Farhan Roslan yang menjadi pemain gantian ketika bertemu Singapura, berkata keputusan Bernhardt menggunakan khidmatnya pada separuh masa kedua adalah yang terbaik bagi dirinya selepas direhatkan kira-kira dua minggu akibat kecederaan.

“Kecederaan saya telah pulih sepenuhnya dan saya berjanji akan buat yang terbaik sekiranya diberi kepercayaan beraksi menentang Thailand,” katanya.

Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Hang Jebat malam ini manakala aksi menentukan tempat ketiga dan keempat antara Vietnam dan Singapura akan dilangsungkan pada sebelah petang. — Bernama

Advertisement