Anda di sini

Jadikan perayaan medium perpaduan pelbagai kaum

Advertisement

SRI AMAN: Masyarakat berbilang kaum di negeri ini harus menjadikan setiap perayaan disambut pelbagai golongan lapisan masyarakat sebagai satu landasan mempelajari, mengenali kebudayaan serta adat resam sesebuah kaum lain dengan lebih dekat.

Menteri Muda Pembangunan Ekonomi Luar Bandar dan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis berkata, peluang sebegini harus dimaanfaat sepenuhnya oleh semua anggota masyarakat dengan menziarahi rakan bagi meraikan perayaan berkenaan.

“Sebagai contoh, perayaan Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deevapali dan pelbagai lagi di negara kita mempunyai keunikan tersendiri malah semua lapisan masyarakat berbilang kaum berpeluang merayakannya tanpa mengira bangsa atau agama.

“Inilah sebenarnya keunikan masyarakat Malaysia dan sering kali kita lihat di majlis rumah terbuka, mereka yang berkunjung bukan hanya masyarakat yang merayakan perayaan terbabit malah masyarakat daripada kaum lain,” ujarnya.

Beliaun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang di Stadium Mini Sri Aman, semalam.

Menurutnya, budaya saling mengunjungi ke rumah rakan berlainan bangsa harus diteruskan bagi meningkatkan semangat perpaduan serta saling menghormati budaya dan adat resam sesebuah kaum.

Dalam pada itu, lebih 2,000 penduduk di Sri Aman membanjiri majlis rumah terbuka beliau bermula dari jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang semalam.

Turut hadir Temenggung Samuel Lawen, Pemanca Lee Siang Hua, ketua ketua masyarakat setempat serta kakitangan kerajaan di Sri Aman.

 

Advertisement