Anda di sini

Henry bakal utara isu prasarana pada sidang DUN

Advertisement
 Henry (lima kanan) merakam kenangan bersama tetamu yang datang pada Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak di  kediamannya di Bung Konis, Singai.

SELAMAT DATANG: Henry (lima kanan) merakam kenangan bersama tetamu yang datang pada Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak di kediamannya di Bung Konis, Singai.

KUCHING: Masalah kemudahan asas penduduk Bau akan disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bermula 7 Jun ini.

Beliau memberitahu perkara itu penting kerana masalah kemudahan asas di kawasan tersebut antara isu kritikal dialami penduduk di situ.

Selain Pelan Induk Pembangunan Tasik Biru, Henry menjelaskan bahawa isu berkaitan kemudahan asas dimasukkan dalam sesi soal jawab pada Persidangan DUN nanti.

“Saya masukkan beberapa soalan sekarang ini yang dianggap amat kritikal iaitu kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

“Batang paip ada tetapi tekanan air tidak kuat menyebabkan penduduk mengalami masalah mendapatkan bekalan air,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di kediamannya di Bung Konis, Singai dekat sini, kelmarin.

Menyentuh mengenai perancangannya di DUN Tasik Biru, Henry merancang mewujudkan semula nostalgia sistem perhubungan asal di kawasan Sebuku/Tondong yang merupakan jalan utama penduduk setempat ke pekan Bau.

“Perancangan utama saya untuk Tasik Biru adalah Pelan Induk Infrastruktur Utama yang perlu diberi keutamaan.

“Pertamanya membina jalan menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo ke Bau supaya dilebar dan ia sudah dilulus kerajaan,” katanya.

Jelasnya, perancangan kedua ialah menaik taraf jalan raya Sebuku/Tondong yang memerlukan jambatan dengan anggaran kos kira-kira RM10 juta bagi menghubungkan pekan Tondong dengan Sebuku sebagai satu jalan alternatif ke pekan Bau.

“Ini adalan jalan asal orang Singai ke Bau dahulu yang sudah 50 tahun tidak digunakan lagi. Saya mahu mengembali dan menghidupkan nostalgia itu,” tambahnya.

Menurutnya, pembinaan jalan asal itu bakal memendekkan tempoh perjalanan penduduk di kawasan Singai ke pekan Bau termasuk membantu merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk setempat.

Selain itu, beliau turut merancang membina jalan alternatif Musi/Buso bagi menarik lebih ramai pelabur datang ke kawasan Bau.

Jelasnya, jika pekan Bau mempunyai banyak jalan alternatif menghubungkan kawasan sekitarnya sudah pasti aktiviti sosioekonomi dapat ditingkatkan.

“Niat saya menghidupkan suasana ekonomi lebih aktif di pekan Bau dan penduduk kawasan ini apabila kita ada suasana ekonomi aktif.

“Saya percaya orang luar bandar mendapat pekerjaan dan menceburi peluang perniagaan secara kecil-kecilan sama ada di kawasan kampung atau bandar,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan selamat Hari Gawai Dayak kepada masyarakat Dayak di negeri ini serta menyarankan supaya semangat saling menziarahi sentiasa diamal bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara.

 

 

Advertisement