Anda di sini

Dayak digesa terlibat aktif dalam pembangunan

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli//

 Uggah (kanan) mahu masyarakat Dayak Sarawak terlibat aktif dalam pembangunan negeri.

BERSATU HATI: Uggah (kanan) mahu masyarakat Dayak Sarawak terlibat aktif dalam pembangunan negeri.

KUCHING: Komuniti Dayak di seluruh negeri ini, khasnya digesa untuk terlibat aktif dalam pembangunan negeri selain bekerja keras untuk membangunkan kawasan mereka, terutama di luar bandar.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Doughlas Uggah Embas berkata, komuniti Dayak wajar terus menjalin hubungan dengan pelbagai kaum serta agama lain di negeri ini dalam perpaduan bagi mencapai kepesatan pembangunan negeri.

“Kita perlu memastikan kita semua memainkan peranan dan terlibat secara aktif dalam usaha kita untuk mendapat manfaat sama rata daripada semua program pembangunan ekonomi dan sosial yang dibawa kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai di kediamannya di Taman BDC di sini, semalam.

Tambah beliau lagi, masyarakat juga perlu bersaing seiring dengan pembangunan semasa supaya rakyat serta negeri ini dapat bergerak seiring dalam mencapai status negeri berpendapatan tinggi.

“Sekiranya kita masih mempunyai keperluan prasarana yang berkurangan di kawasan luar bandar, kita boleh membinanya apabila mempunyai peruntukan yang mencukupi.

“Tetapi untuk mendapatkan kehidupan yang terbaik, kita yang perlu berubah, bertindak dan bekerja dengan lebih gigih lagi,” jelasnya.

Selain itu, beliau yang juga merupakan Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) amat komited dalam usahanya mengangkat Sarawak dalam semua aspek seperti yang terkandung dalam manifestonya untuk memberi fokus ke arah pembangunan transformasi luar bandar.

Jelasnya lagi, kunci utama ke arah transformasi luar bandar selain mencapai objektif ialah penyertaan aktif masyarakat dan bekerjasama.

“Justeru, saya minta rakyat terutama di kawasan luar bandar untuk terus memainkan peranan penting serta bekerja keras untuk mencapai kejayaan bersama seperti orang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan golongan petani agar menerima dan menyesuaikan diri dengan modenisasi dalam aktiviti pertanian terutama untuk memasarkan produk mereka yang dapat memberi pulangan yang berlipat ganda.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita berterima kasih kepada kerajaan dengan semua kelebihan dan manfaat yang kita ada hari ini.

“Untuk kehidupan yang baik, kehidupan yang harmoni serta perpaduan yang kita miliki kini,” jelasnya.

 

Advertisement