Anda di sini

Kejohanan Olahraga Pra- SUKMA ‘kurang sengat’

Advertisement

Skuad olahraga Sarawak mampu tampil persembahan hebat pada SUKMA XVIII

// Oleh Harry Ilias //

 Nixson Kennedy bersedia menggegarkan Stadium Sarawak dalam acara olahraga pada temasya SUKMA XVIII di Kuching Julai depan.

SEDIA GEGAR: Nixson Kennedy bersedia menggegarkan Stadium Sarawak dalam acara olahraga pada temasya SUKMA XVIII di Kuching Julai depan.

KUCHING: Hasrat menantikan saingan sengit pada Kejohanan Olahraga Pra- SUKMA yang diadakan pada hujung minggu lalu di Stadium Sarawak tidak kesampaian selepas kebanyakan atlet terkemuka Sarawak dan negeri-negeri lain tidak turut serta.

Dua atlet harapan Sarawak, Grace Wong dan pelari pecut, Jonathan Nyepa antara yang tidak mengambil bahagian kerana sedang bertarung pada Kejohanan Olahraga Remaja Asean di Vietnam.

Begitupun, temasya dua hari itu tetap meriah dengan kehadiran beberapa atlet Sarawak lain sekali gus mengetengahkan kekuatan dan potensi Sarawak dalam acara balapan dan padang pada temasya SUKMA XVIII nanti.

Antara yang membuat kemunculan seorang lagi pelari pecut Nixson Kennedy, atlet 400 meter berhalangan Quek Lee Yong, pelari jarak jauh Faradillah Raznie, atlet lontar tukul besi remaja, Wong Siew Hung dan atlet rejam lembing, Raphael Asun.

Semua atlet itu menampilkan persembahan meyakinkan pada kejohanan ujian itu.

Nixson tidak menyertai acara 100 meter sebaliknya beliau menguji kemampuannya dalam acara lompat jauh dan memenanginya dengan lompatan sejauh 6.60 meter.

Tempat kedua dimenangi Nix Watson Baring (6.45 meter) dan Kendawang Mada di tempat ketiga dengan lompatan sejauh 6.24 meter.

Acara 100 meter dimenangi pelari sedang meningkat naik, Azly Chua selepas mencatat masa 11.11 saat menewaskan Raphael dengan catatan masa 11.13 saat.

Azly turut merangkul kejuaraan dalam acara 200 meter dengan catatan masa 22.45 saat disusuli Shemaker Dilip di tempat kedua dengan masa 22.88 saat.

Dalam acara 800 meter wanita, juara bertahan Faradillah jelas tidak tercabar manakala dalam acara 1,500 meter beliau turut cemerlang di tempat pertama dengan catatan masa 5:12.34 saat.

Acara merejam lembing wanita dimenangi Tine Hie Ching dengan rejaman sejauh 37.74 meter mengatasi Wong Nie Nie yang mencatat 37.34 meter.

Manakala dalam acara lelaki, Raphael diletakkan selaku atlet pilihan memenangi emas muncul juara dengan rejaman kurang meyakinkan sejauh 53.30 meter berbanding rekod sejauh 68 meter dipegangnya sebelum ini.

Roland Manggie Kunding di tempat kedua dengan rejaman sejauh 49.45 meter manakala atlet bayangan Lee Say King tempat ketiga dengan 48.98 meter.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam acara baling tukul besi apabila atlet berusia 18 tahun, Wong Siew Hung muncul juara selepas menewaskan rakan sepasukan dari Sarikei, Jackson Wong.

Beliau mencatat balingan sejauh 48.15 meter manakala Jackson mencatat 45.11 meter.

Sarawak meletakkan harapan tinggi di bahu Grace Wong, Faradillah, Siew Hung, Quek Lee Yong dan Raphael untuk merangkul emas pada temasya SUKMA XVIII di sini Julai depan.

Selain itu, emas turut disandarkan di bahu Norris Foo dalam acara heptathlon.

Apa yang pasti, tumpuan utama pasti terarah kepada peluang Sarawak merangkul ibu segala emas dalam acara olahraga iaitu acara pecut dengan atlet harapan, Jonathan berjaya menewaskan pelari sensasi Badrul Hisyam Abdul Manap dari Melaka pada Terbuka Taiwan baru-baru ini.

Jonathan dijangka menyertai dua acara kegemarannya iaitu 100 meter dan 200 meter untuk memburu emas.

Selain itu, kombinasi Jonathan, Nixson, Asly dan Raphael dalam acara 4×100 meter juga dijangka memberi cabaran sengit dalam pemburuan emas.

Advertisement