Anda di sini

Suri rumah sebagai mata dan telinga kepada polis

Advertisement

Lebih kenal individu di kejiranan, banyak masa di rumah

 Omar (tengah) bersama Douglas, Rosnah, ahli-ahli AMANITA, pegawai kanan polis dan kerajaan, suri rumah dan pemimpin masyarakat memotong kek sempena Program Cegah Jenayah Program Cegah Jenayah Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah di Keningau Mall.

EFEKTIF: Omar (tengah) bersama Douglas, Rosnah, ahli-ahli AMANITA, pegawai kanan polis dan kerajaan, suri rumah dan pemimpin masyarakat memotong kek sempena Program Cegah Jenayah Program Cegah Jenayah Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah di Keningau Mall.

KENINGAU: Peranan suri rumah sebagai mata dan telinga kepada polis merupakan cara yang paling efektif untuk mencegah jenayah di kawasan kejiranan, kata Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, di sini pada Sabtu.

Katanya, ia kerana mereka lebih peka dan mengenali individu di kawasan kejiranan mereka serta lebih banyak masa berada di rumah.

“Langkah terbaharu ini menunjukkan PDRM mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sector di negara ini termasuk suri rumah yang membentuk modal insan di peringkat awal.

“Selama ini, kita lihat wanita memainkan pernanan penting dalam rumahtangga termasuk menjadi penasihat kepada suami sebelum mereka membuat keputusan. Kita yakin mereka juga dapat memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara,” katanya ketika berucap melancarkan Program Cegah Jenayah Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah di Keningau Mall, di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong, Pengawai Turus AMANITA Sabah Deputi Superintenden Rosnah Awang Damit, wakil Pegawai Daerah Yamin Karinong, Pegawai AMANITA IPD Keningau ASP Ramona Albert dan Pengurus Kompleks Sukan Keningau Ludwina Runggi.

Menyentuh komitmen masyarakat dalam menangani kegiatan jenayah, Omar berkata tidak dapat disangkal golongan suri rumah turut memainkan peranan yang penting dalam usaha mencegah jenayah di kawasan kejiranan.

Menurut beliau, walaupun tugas polis adalah untuk menjaga ketenteraman dan keamanan tetapi perlu diterapkan kepada masyarakat bahawa sebagai seorang warganegara adalah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap individu untuk mencegah jenayah.

“Untuk menggerakkan inisiatif AMANITA ke arah ini, pegawai AMANITA perlu menjalankan satu kerjasama pintar dengan wanita khususnya suri rumahtangga.

“Pegawai AMANITA perlu mendapatkan penyertaan suri rumahtangga melalui pendaftaran sebagai rakan AMANITA supaya menjadi ‘mata dan telinga’ di kawasan kejiranan masing-masing untuk membolehkan maklumat berunsur jenayah dapat disalurkan segera kepada pihak polis melalui AMANITA,” katanya.

Selain itu katanya, menjalankan program kesedaran wanita untuk meningkatkan pengetahuan berhubung trend jenayah semasa bagi mengelakkan diri serta keluarga daripada menjadi mangsa jenayah.

Omar memberitahu isu jenayah dan keselamatan awam menjadi topik utama yang dibincangkan oleh kumpulan masyarakat di media perdana dan media sosial muktakhir ini.

Katanya, ia kerana aspek keselamatan adalah perkara pokok yang mengakari pembangunan sesebuah negara.

“Kesan berlakunya kes jenayah ini akan mengganggu gugat aktiviti harian, perhubungan sosial dan aktiviti ekonomi masyarakat,” katanya.

Katanya, perubahan zaman dan teknologi telah turut mengubah landskap dunia persekitaran pada masa kini dan masyarakat terdedah dengan pelbagai bentuk cabaran baru yang boleh mengancam keselamatan awam.

Katanya, masyarakat perlu mempersiap siagakan diri dalam mencegah kegiatan jenayah. Sikap keprihatinan masyarakat sekeliling terhadap jenayah perlu dibentuk bermula dari benih kekeluargaan di rumah, kemudian dibawa keluar kepada komuniti kejiranan dan seterusnya kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

Omar berkata tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara bukan sahaja terletak di bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya dan pasukan beruniform amnya, tetapi ia juga memerlukan komitmen bersama oleh masyarakat sekeliling tanpa mengira bangsa, agama, usia dan juga gender.

Beliau berkata dengan adanya hubungan erat dan aktif antara PDRM dengan masyarakat, ia mampu mengurangkan tahap kebimbangan terhadap jenayah dan masa yang sama mengubah persepsi masyarakat terhadap kualiti pasukan keselamatan itu sendiri.

Omar turut menzahirkan rasa penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa memberi keyakinan dan kepercayaan kepada PDRM untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan mereka atas dasar inilah tema ‘Polis dan masyarakat Berpisah Tiada’ dikekalkan.

Beliau berkata sebagai sebuah organisai penguatkuasaan yang dinamik, PDRM perlu melakukan transformasi dan bergerak seriring dengan tuntutan semasa, perubahan persekitaran dan ekspektasi masyarakat.

Advertisement