Anda di sini

Pembangunan infrastruktur, pertanian dan luar bandar diberi penekanan

Advertisement

LAWAS: Pembangunan infrastruktur, pemodenan pertanian dan pembangunan luar bandar diberi penekanan kerajaan negeri untuk penggal baharu sekali gus menunaikan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pembangunan fizikal dan ekonomi luar bandar di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menjadi teras utama.

“Ini adalah kesinambungan daripada RM1.5 bilion diluluskan oleh DUN sebelum Pilihan Raya Negeri lalu, melebihi apa yang sudah diluluskan,” katanya pada sambutan Pra-Gawai di Rumah Munit, Kampung Lumut Laut di Lawas, malam kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Gumbang, Penghulu Ajan Renang dan Tuai Rumah Munit  Entalang.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua itu berkata, kerajaan akan menunaikan janji-janji mengikut kapasiti dan tidak menjanjikan harapan palsu.

“Kami tidak membuat janji-janji kosong sebaliknya berusaha menunaikan dan melaksanakan segala manifesto dan pembangunan secara berperingkat-peringkat kerana tidak dapat dilakukan sekali gus,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memikirkan jalan akses alternatif kepada Rumah Munit Kampung Lumut Laut di bawah projek RTP yang akan membuka kawasan baharu.

“Jalan itu dirancang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi berkaitan dan saya mencadangkan akan termasuk dalam projek RTP,” katanya.

Beliau menambah, keutamaan diberikan kepada pembangunan kawasan-kawasan yang menyokong BN pada PRN lalu di kawasan Ba’Kelalan.

Awang Tengah turut memuji kepimpinan rumah panjang khususnya pengurusan geran kerajaan di bawah semangat gotong-royong komunitinya.

Beliau kagum dengan pemberian RM100,000 daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semasa sambutan Gawai sebelum ini di Lawas yang telah digunakan untuk pembinaan jubin lantai, siling dan komponen lain.

Wakil rumah panjang dan bekas ketua rumah panjang Atang Engko berkata, penduduk rumah panjang berterima kasih kepada kerajaan BN atas sokongan pembinaan rumah panjang, tempat letak kereta dan jalan raya, jambatan serta bekalan elektrik luar bandar yang sudah siap awal minggu ini seperti yang dijanjikan.

Beliau juga meminta dana tambahan untuk menyiapkan rumah panjang yang masih belum siap sepenuhnya khususnya struktur dapur sebagai langkah pencegahan kebakaran.

“Kira-kira 80 peratus daripada apa yang anda lihat sekarang adalah daripada kerajaan BN.

“Kita benar-benar berterima kasih kepada kerajaan dan harap ada bantuan lagi diberi bagi melengkapkan pembinaan dapur kami,” katanya.

Advertisement