Anda di sini

Masa depan BN terjamin jika semua bersatu

Advertisement

SIBU: Masa depan Barisan Nasional (BN) terus terjamin sekiranya semua masyarakat, jentera parti, komponen BN dan ahli parti bersatu padu.

Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi Dr Annuar Rapa’ee melihat masa depan BN bukannya ancaman daripada luar atau disebabkan kekuatan pembangkang.

“Tetapi masa depan BN terjamin apabila seluruh masyarakat, jentera parti, komponen BN dan ahli parti bersatu padu. Itulah kekuatan kita yang kita harus pertahankan.

“Kita tidak perlu risau kekuatan pembangkang atau isu-isu mana sekalipun yang mereka bawa.

“Selagi kita bersatu padu dan dapat melihat apa yang diperjuangkan oleh pemimpin kita maka parti selamat dan BN terus kukuh di negeri ini,” katanya pada Majlis ‘A Night Of Unity – BN’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Pengarah JASA Sarawak Hassan Busu, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie serta Faridah Osman, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce serta yang lain.

ADUN Nangka itu berkata, walaupun ada pihak tertentu tidak berpuas hati atau senang dengan keadaan sesuatu  tempat namun jangan mengkhianati perjuangan parti.

“Perjuangan partilah yang kita harus kukuhkan. Saya sentiasa berpesan dengan diri sendiri dan keluarga bahawa jika suatu ketika nanti saya tidak dicalonkan maka saya akan terus mempertahankan BN.

“Saya tidak membiarkan ahli keluarga, ibu bapa atau saudara-mara saya mengkhianati perjuangan parti. Di manakah saya kalau tidak ada perjuangan parti ini,” katanya.

Menurut Dr Annuar, beliau bertungkus-lumus sejak lima tahun lalu bukan sahaja sebagai wakil rakyat tetapi memastikan BN terus kekal di bandar Sibu.

Ini kerana, banyak desas-desus mengatakan kedudukan BN di Sibu tidak begitu teguh selepas kekalahan lima daripada tujuh wakil rakyat BN pada pilihan raya sebelum ini.

“Tetapi kali ini, kita tambah satu lagi kerusi di kawasan Dudong. Sebab itu, saya melihat kedudukan BN amat penting untuk kita pertahankan,” jelasnya.

Dr Annuar juga bersyukur kerana BN dapat menang besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) termasuk di DUN Nangka.

Beliau amat terhutang budi dengan seluruh jentera BN di DUN Nangka bukan sahaja kalangan ahli jawatankuasa ranting tetapi sukarelawan yang sanggup bekerja keras untuk BN.

“Saya amat terhutang budi kerana tidak pernah nampak semangat begitu tinggi dalam kalangan jentera BN di DUN Nangka,” katanya.

Advertisement