Anda di sini

Kerajaan tidak akan layan tuntutan Filipina terhadap Sabah: Reezal Merican

Advertisement

KEPALA BATAS: Kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina terhadap Sabah kerana negeri itu merupakan sebahagian daripada negara berdaulat seperti diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perkara itu sering ditimbulkan oleh pihak negara itu sebelum ini namun, Suruhanjaya Cobbold pada 1962 telah menetapkan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Keberadaan Sabah dalam Malaysia telah ditentukan melalui Suruhanjaya Cobbold, maknanya mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri, di bawah naungan payung UN (PBB) yang diiktiraf seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru KAFA peringkat negeri di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar The Philippine Star baru-baru ini yang melaporkan bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Duterte yang menang dalam pilihan raya presiden dijangka mengangkat sumpah pada 30 Jun ini. Beliau adalah Datuk Bandar Davao City selama hampir 22 tahun.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican meminta agar golongan bukan Islam bersikap lebih terbuka dan menghormati isu berkaitan usul untuk meminda Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah kerana ia merupakan undang-undang sedia ada yang termaktub dalam perlembagaan.

“Rakan-rakan kita daripada agama lain perlu diberi pemahaman tentang perkara ini. Peruntukan ini selari dan termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata pindaan itu hanya bertujuan untuk menambah baik bidang perundangan Syariah sedia ada agar selari dengan perkembangan semasa dan ia bukanlah undang-undang baharu.

Khamis lepas, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati. — Bernama

Advertisement