Anda di sini

Tingkat prestasi melalui pengurangan syif kerja

Advertisement

Oleh Michael Ubam//

 

KANOWIT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak yakin prestasi dan mutu kerja akan ditingkatkan di enam balai bomba susulan kejayaan melaksana pengurangan masa bekerja daripada 24 jam kepada syif 12 jam.

Enam balai tersebut termasuk Simunjan, Sri Aman, Saratok, Sarikei, Bintangor dan Marudi dan tahun ini balai di Limbang akan disasarkan mengikut waktu syif sama.

Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, seramai 22 pegawai bomba bantuan (Siri 2 tahun 2014) berjaya ditauliah di BBP Kanowit kelmarin.

Katanya, selain mampu mengurangkan jam bekerja kepada 12 jam, pelantikan pegawai bomba bantuan akan membantu menampung keperluan keanggotaan di balai bomba sekali gus menambah kekuatan pasukan di balai.

“Secara keseluruhan pada 2015 kita telah melatih 104 anggota bomba sokongan untuk enam stesen.

“Tahun ini kami juga bakal melaksanakan peralihan 12 jam untuk balai Limbang dengan pengambilan 15 anggota bomba bantuan,” katanya.

Menurutnya, Sarawak akan mempunyai jumlah pegawai bomba bantuan kedua terbanyak iaitu seramai 141 orang selepas Perak pada tahun ini.

Nor Hisham berkata anggota bomba bantuan adalah sangat penting kerana mereka akan dipanggil untuk membantu pada masa kecemasan.

“Bantuan mereka sangat diperlukan ketika musim kemarau apabila terdapat kebakaran belukar yang memerlukan jumlah anggota bomba yang banyak,” jelasnya.

Perkhidmatan mereka juga diperlukan dalam masa bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Bagi 22 pegawai bomba bantuan baharu katanya, enam daripada mereka akan ditugaskan di Balai Bomba Tatau, seorang untuk Bintangor dan 15 untuk Balai Bomba Song.

Katanya, mereka adalah calon terbaik dipilih daripada sejumlah 201 pemohon.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah memperuntuk RM9 juta pada 2015 untuk tujuan pembayaran elaun latihan dan elaun bertugas sahaja selain bayaran insurans, pakaian seragam dan perolehan ‘Personnal Protective Equipment’ dan tahun ini sebanyak RM6.9 juta diluluskan untuk tujuan sama.

Pada majlis itu, Nor Hisham turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wartawan tempatan kerana membantu menyalurkan maklumat mengenai aktiviti bomba kepada orang awam.

 

Advertisement