Anda di sini

Sarawak sasar seorang doktor untuk 400 pesakit

Advertisement

Oleh Connie Sylvia Mesa//

 

 

MIRI: Sarawak menyasarkan nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit (1:400) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, pada 2015 nisbah terbabit adalah 1:980 berbanding 1:2,000 pada 2010.

“Walaupun menunjukkan peningkatan populasi doktor untuk pesakit, namun kita masih ketinggalan dan ingin mencapai sasaran 1:400 dalam tempoh lima tahun lagi.

“Kita tahu ini adalah mencabar kerana faktor geografi dan logistik negeri yang besar seperti Sarawak, tetapi kita yakin dapat mencapai sasaran tersebut jika kita merancang dengan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Makan Malam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kebangsaan Ke-56 di Meritz Hotel, malam Khamis lalu.

Jelas Adenan, kerajaan komited untuk menambah baik infrastruktur dan mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di pusat bandar dan kawasan luar bandar.

Menurutnya, Sarawak memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan persekutuan bagi menaik taraf termasuk menyediakan kemudahan untuk hospital dan klinik di Sarawak.

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan menaik taraf kemudahan kesihatan di bandar dan luar bandar bagi memenuhi permintaan penduduk yang semakin bertambah,” katanya.

Katanya, kerajaan sedar bahawa rakyat khususnya di kawasan luar bandar memerlukan klinik kesihatan dengan doktor serta hospital daerah yang memerlukan doktor pakar.

Justeru jelas Adenan, bilangan jawatan pakar perubatan di negeri ini perlu ditambah dengan memberi kedudukan tertinggi kepada jawatan kanan di hospital dengan menyedia insentif lebih baik.

“Tanpa meningkatkan insentif seperti elaun, ia akan menyukarkan para pakar perubatan untuk berkhidmat di Sarawak.

“Selain itu, doktor sedia ada berkhidmat di Sarawak juga perlu diberi lebih banyak peluang latihan terutama dalam kepakaran,” katanya.

Oleh itu, beliau mahu MMA membantu menyampaikan mesej terbabit dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan atau agensi berkaitan bahawa Sarawak masih memerlukan penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk rakyatnya.

“Anda (MMA) turut berperanan memujuk doktor muda atau pakar memilih Sarawak sebagai lokasi mereka untuk memberi khidmat dan berkongsi kepakaran masing-masing,” tambahnya.

Sementara itu, lebih 350 tetamu yang terdiri daripada doktor dari seluruh Malaysia hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama ialah Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengerusi MMA Cawangan Sarawak Dr Kalwinder Singh Khaira dan dif-dif kehormat yang lain.

 

Advertisement