Anda di sini

Ellron cadang tanah di Ulu Sg Milian diwartakan sebagai tadahan air

Advertisement
 Ellron (empat kiri), Primus (lima kanan) bergambar bersama pegawai-pegawai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Air di hadapan banner kawasan larangan selepas lawatan itu.

KAWASAN LARANGAN: Ellron (empat kiri), Primus (lima kanan) bergambar bersama pegawai-pegawai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Air di hadapan banner kawasan larangan selepas lawatan itu.

KENINGAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ellron Alfred Angin telah mencadangkan pewartaan kawasan tanah seluas 3,000 ekar di Ulu Sungai Milian bagi tujuan tadahan air.

Katanya ia bagi mengekal dan meningkatkan sumber air untuk kegunaan penduduk serta sawah padi yang mencukupi pada masa akan datang.

“Kita juga telah melihat keadaan sebenar di mana setiap kali berlaku kemarau panjang, kawasan Sook akan mengalami masalah air yang teruk,” katanya selepas melakukan lawatan ke kawasan itu baru-baru ini.

Ellron yang juga ADUN Sook memberitahu pewartaan kawasan itu sebagai tadahan air adalah penting agar pada masa akan datang tidak lagi timbul masalah air terutama sekali pada musim kemarau.

Pada masa yang sama, katanya, ia juga akan mengelakkan banjir kilat yang boleh mengancam keselamatan kampung di sepanjang sungai itu.

Menurut beliau, pengalaman sebahagian penduduk di kawasan Sook pada setiap hujan akan berlaku banjir kilat dan ia turut memberi impak buruk kepada penduduk terutama sekali kerosakan harta benda, pertanian dan juga hasil penternakan.

“Kita juga berusaha melindungi ekosistem yang terdapat di sekitar kawasan itu agar tidak berlaku pencemaran,” katanya.

Turut bersama Ellron pada lawatan itu ialah Penolong Pegawai Daerah Sook Primus Takom, Pegawai Jabatan Perhutanan Hendry Ladsou dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Air.

 

 

Advertisement