Anda di sini

Tindakan tegas jika salah guna laman sosial

Advertisement
 Mazlan bersalaman dengan pegawai-pegawai kanan IPK Sarawak semalam. Turut kelihatan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof (dua kanan) dan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak SAC Zamani Hamdan Sirat (kanan).

SELAMAT DATANG: Mazlan bersalaman dengan pegawai-pegawai kanan IPK Sarawak semalam. Turut kelihatan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof (dua kanan) dan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak SAC Zamani Hamdan Sirat (kanan).

KUCHING: Polis Sarawak akan terus memantau dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan laman sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, langkah-langkah pencegahan wajar diambil meskipun kesalahan di media sosial yang semakin sarat dengan fitnah dan dakyah di negeri ini tidak agresif serta tidak serius seperti negeri-negeri lain.

Katanya jenayah melibatkan media sosial merupakan salah satu elemen penting yang digariskan dalam pucuk pimpinan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Elemen jenayah melibatkan media (sosial) adalah satu perkara yang amat menarik perhatian kita dan kita sering memantau kerana media sosial adalah satu alat yang tajam untuk mengasah pemikiran semua kita.

“Jadi, badan penguat kuasa seperti PDRM merupakan satu badan yang memantau dan akan mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja melakukan kesalahan dan akan membawa ke muka pengadilan jika terbukti ada asas-asas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bagi mengalu-alukan beliau yang mengambil alih tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak daripada Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, semalam.

Mazlan ketika diminta mengulas mengenai Rang Undang-Undang Agensi Antidadah Kebangsaan (Pindaan) 2016 diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, polis bersedia bekerjasama dengan agensi tersebut dalam usaha membanteras jenayah dadah di negeri ini.

“Kita akan sesuaikan dan selaraskan (dengan AADK) khasnya dalam penugasan harian. Apabila diluluskan Dewan (Rakyat), maka kita akan ikut,” katanya.

Menurutnya, polis juga akan terus berusaha menurunkan indeks jenayah di negeri ini dengan menggunakan pendekatan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di mana penjenayah disyaki boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

“Ini strategi yang dapat menurunkan serta mengawal keadaan jenayah di Sarawak.

“Kami berharap ia (POCA) akan menjadi strategi untuk mengurangkan kadar jenayah dan jenayah dalam kawalan di Sarawak dan negeri-negeri lain,” katanya.

Mazlan turut memberitahu, beliau akan berusaha memperkukuhkan polis Sarawak selari dengan Pelan Strategik PDRM 2015-2020.

Dalam pelan enam tahun itu, bidang seperti penguatkuasaan undang-undang, ketenteraman dan keselamatan awam, pencegahan jenayah, penyiasatan dan pendakwaan, risiko keselamatan dan memperkukuhkan organisasi diberi penekanan.

“Enam bidang ini merupakan visi dan misi PDRM untuk mencapai (piawaian) kepolisan bertaraf dunia,” katanya.

 

Advertisement