Anda di sini

PKR tuntut penyertaan syarikat mega selesai isu banjir kilat: See

Advertisement

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri menuntut penyertaan pemaju projek besar swasta dalam usaha bersepadu dirancang kerajaan negeri dalam menyelesaikan dan mengurang banjir kilat  kerap berlaku di sini.

Menurut Naib Pengerusinya See Chee How, setiap perancangan pembangunan dan pelan untuk tujuan usaha tersebut perlu dilaksanakan dalam kadar segera.

“Lebih dua bulan lepas, kerajaan negeri mengumum akan menubuhkan jawatankuasa khas dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian untuk mengurang masalah banjir kilat di bandar raya (Kuching) ini, khususnya yang  dikenal pasti sebagai kawasan kritikal.

“Malah pendekatan untuk jangka masa pendek dan panjang juga dikatakan telah dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) termasuk membina sistem perparitan tulang belakang yang saya sifatkan menarik dan mustahak.

“Namun sehingga kini jawatankuasa khas masih belum mendedahkan pelan dan kemajuan projek yang telah diambil,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini, semalam.

Katanya, memandangkan setiap pendekatan bersesuaian telah dikenal pasti, seharusnya pelan pembangunan dan projek pembinaan itu dijalankan dalam kadar segera.

Malah, jelasnya, kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar semua bersedia turun padang dan menjalankan tugas yang diamanahkan perlu diberi perhatian.

“Justeru, saya menggesa semua ahli jawatankuasa khas dilantik  mempelawa pemaju utama swasta di Kuching duduk berbincang dalam mesyuarat supaya mengetahui peranan dan sumbangan kepada usaha bersepadu, termasuk membina sistem perparitan tulang belakang di kawasan persekitaran projek dijalankan mereka,” katanya sambil menambah ia juga sebagai pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat kerajaan.

Selain  itu, beliau memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa mutlakmenjalankan tugas am dan tanggungjawab mereka untuk melindungi harta benda serta kebajikan rakyat, dan dalam hal ini, PBT perlu mengarahkan pemaju untuk menjalankan kerja pembinaan parit mengikut spesifikasi.

Katanya, masalah banjir kilat kerap dilaporkan berlaku di beberapa kawasan kritikal adalah berpunca daripada kekurangan sistem perparitan bagi menampung pengaliran air yang deras.

“Seperti banjir kilat yang berlaku baru-baru ini, terutama di kawasan Hospital Umum Sarawak (HUS), Jalan Batu Lintang, Jalan Ong Tiang Swee, Jalan Upland, Kenny Hill, ia adalah ekoran projek pembangunan yang tidak mempunyai sistem parit yang betul mengakibatkan air melimpah masuk ke kawasan parit asal yang jelas sekali gagal untuk menampung limpahan air deras.

“Justeru, PBT perlu menggunakan kuasa mutlak mereka untuk mengarahkan pemaju terlibat bagi membina sistem perparitan dan menambahbaik parit sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat ini,” tegasnya.

Beliau juga berkata, kerja-kerja tebatan banjir harus diberi keutamaan sebelum perkara lebih buruk berlaku memandangkan terdapat banyak pembangunan projek-projek besar yang sedang berjalan di sekitar bandar raya ini.

Advertisement