Anda di sini

Perluas PKS tembusi pasaran Asia

Advertisement

Usahawan harus berfikir global sebagai cara perkembang perniagaan

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak perlu memperluaskan pasaran produk mereka di rantau Asia yang kini memiliki saiz pasaran seramai 625 juta pengguna.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerana pasaran domestik di Sarawak adalah kecil, usahawan PKS harus berfikir besar dan pergi global sebagai cara memperkembangkan perniagaan mereka.

“Miri dekat dengan Brunei yang penggunanya mempunyai kuasa beli tinggi. Sementara Kalimantan Barat berdekatan Tebedu mempunyai potensi pasaran lebih lima juta pengguna,” jelas beliau merasmikan Minggu PKS anjuran Perbadanan PKS (SME Corp) Malaysia di Permaisuri Imperial City Mall semalam.

Tengah juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada PKS yang mampu menyumbang 98 peratus pertumbuhan ekonomi negara.

Terdapat 44,000 usahawan PKS di Sarawak atau 6.8 peratus iaitu jumlah kelima terbesar di seluruh negara.

“Menjelang 2020, kerajaan menyasarkan sumbangan PKS akan meningkat daripada 33 kepada 41 peratus dari segi KDNK, 59 kepada 65 peratus dari segi guna tenaga dan 19 kepada 23 peratus dari segi eksport,” jelas Tengah.

Mengulas tentang bantuan, sepanjang tahun 2015, TEKUN telah mengeluarkan pinjaman RM1.76 juta, AIM sebanyak RM188.2 juta, TERAJU sebanyak RM7.9 juta, SME Bank sebanyak RM233 juta, SEDC sebanyak RM2.8 juta dan Kementerian Pembangunan Perindustrian sebanyak RM3.5 juta, digunakan untuk mempergiat pembangunan PKS termasukan usahawan mikro.

Selain penganjuran kursus dan seminar, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM3 bilion untuk membangunkan lebih daripada 7,300 hektar tanah perindustrian untuk PKS.

Jumlah tersebut tidak termasuk 8,800 hektar tanah perindustrian di Samalaju untuk industri berintensifkan tenaga serta 77,000 hektar untuk hab halal di Tanjung Manis.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kerajaan akan membangunkan lebih banyak taman perindustrian di kawasan luar bandar seperti di Lundu, Betong, Sri Aman, Sebuyau, Marudi, Kapit, Bau dan Sibu.

“Memandangkan negeri ini kaya dengan sumber asli, kita menggalakkan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi khususnya bagi meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi. PKS kita perlu lebih kreatif dan inovatif untuk terus bersaing dalam dunia global yang mencabar ini,” jelasnya lanjut.

Tentang Minggu PKS, Tengah percaya, peluang dan pendedahan akan digunakan sepenuhnya olah masyarakat niaga di Sarawak untuk mendapatkan maklumat terkini tentang program, aktiviti serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, tujuh syarikat terpilih menerima anugerah Usahawan Ikon Negeri Sarawak atau lebih dikenali Hall Of Fame SME Corp Sarawak iaitu Lantana Service Sdn Bhd, Iana Corporation Sdn Bhd, Putri Sejinjang Spa, Qasturie Offshore Engineering Sdn Bhd, Rosfaniaga Service Sdn Bhd, HMN Nadhir Sdn Bhd dan NH Majujaya Enterprise.

Tengah turut menyaksikan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Perusahaan Kek Lapis Hamidah dan  usahawan bimbingan LKIM.

MoU sebagai bukti komitmen kedua pihak untuk projek menjayakan outlet di lapangan terbang antarabangsa Kuching.

Turut dilancarkan ialah produk terkini keluaran NH Maju Enterprise dan syarikat Zueema Enterprise.

Hadir sama ialah Menteri Muda Perpaduan, Rosey Yunus, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Pelaburan dan Promosi, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Datuk Liaw Soon Eng, ADUN Lambir, Ripin Lamat, ADUN Batu Danau, Paulus Gumbang dan Ketua Pegawai Operasi SME Corp Malaysia, Che Nazli Jaapar.

Advertisement